Islam : Misi Imam Muda 3



KESEMUA 10 orang peserta program realiti Imam Muda 3 bersedia memulakan cabaran untuk merebut gelaran juara Imam Muda yang baharu.

Sepanjang dua musim diterbitkan, program realiti Imam Muda yang mencungkil bakat dalam misi pencarian pendakwah muda telah menjadi sebuah program berbentuk keagamaan yang turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Setelah melahirkan Imam Muda Asyraf dan Hassan selaku juara pada musim pertama dan kedua, kali ini program tersebut kembali menemui peminat apabila 10 orang peserta bakal bersaing bagi merebut gelaran juara Imam Muda 3.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, program tersebut semakin mendapat sambutan yang menggalakkan berdasarkan jumlah penyertaan yang diterima pada sesi uji bakat.

“Pada musim ini, seramai 927 orang yang telah menyertai uji bakat pencarian Imam Muda 3 dan ia mencatatkan peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding penyertaan musim lalu.

“Selain itu, buat pertama kali Astro Oasis turut menjalankan uji bakat secara dalam talian. Menariknya, tiga peserta yang melakukan uji bakat secara dalam talian ini layak bersaing ke peringkat akhir,” ujarnya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

Kesemua 10 calon yang bertanding ialah Mohammad Ramadhan Subky (Kuala Lumpur), 25, Fakhrulrazi Ibrahim (Pulau Pinang), 25, Omar Mohd. Mokhtar (Pahang), 21, Syed Mohd. Faris Syed Roslan (Perak), 26, Mohammad Hafiz Abdul Kadir (Kuala Lumpur), 27, Abdul Jabbar Mohammed Kahar (Selangor), 28, Megat Mohd. Zaid Megat Azmuddin (Perak), 26, Mohd. Azri Nami Mohd. Kamal (Johor), 21, Muhammad Nasir M. Yakub Ismail (Indonesia), 26, dan Abdul Rahman Naufal Mohd. Hatta (Johor), 21.

Juara akan membawa pulang wang tunai RM100,000, manakala naib juara akan meraih RM35,000 dan peserta yang mendapat tempat ketiga pula membawa pulang RM15,000.

Menurut Izelan, pembaharuan yang turut dilakukan untuk musim terbaharu ini adalah pelantikan Imam Muda Asyraf dan Hizbur sebagai murshid (mentor) dan akan dibantu oleh barisan naqib (tenaga pengajar) yang bertanggungjawab membimbing para peserta.

Ujarnya, pihak Astro Oasis juga turut memperkenalkan konsep mentor-mentee yang bermakna setiap peserta yang bersaing akan dibimbing oleh seorang mentor yang terdiri daripada bekas peserta Imam Muda dua musim lalu.

Peserta tunggal

Jika pada musim lalu dua orang peserta luar negara iaitu dari Brunei dan Singapura bersaing dalam program Imam Muda 2, saingan kali ini menyaksikan hanya seorang peserta luar negara yang bertanding.

Peserta tunggal tersebut ialah Muhammad Nasir M. Yakub Ismail atau lebih dikenali sebagai M. Nasir, seorang guru mengaji yang berasal dari Pengakalan Susu, Sumatera Utara, Indonesia.

Menurut M. Nasir, dia langsung tidak menyangka dapat layak sehingga ke peringkat akhir dan akan menggunakan peluang yang diperoleh dengan sebaik-baiknya serta mahu mendapatkan lebih banyak pengalaman.

“Apabila berjaya menyertai program ini, kemenangan bukanlah menjadi sasaran utama. Bagi saya, apa yang lebih penting setiap ilmu yang diperoleh itu akan digunakan sebaik-baiknya untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah,” ujarnya.

Bakal memulakan siaran pada 1 Jun ini di Astro Oasis (saluran 106) setiap hari Jumaat pukul 9 malam, para penonton juga dapat menyaksikan program Imam Muda 3 di Astro Mustika HD (saluran 134).

patik : semua lelaki muslim adalah imam ...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik