Hakim kes Breivik main solitaire masa perbicaraan
OSLO 5 Jun - Seorang daripada lima hakim yang ditugaskan
untuk menghakimi kes perbicaraan fanatik Kristian, Anders Behring Breivik
dilihat bermain permainan komputer solitaire, ketika perbicaraan kes itu
memasuki minggu kelapan, semalam.
Insiden yang dirakam oleh kamera stesen televisyen yang
membuat liputan perbicaraan tersebut dengan jelas menunjukkan, Ernst Henning
Eielsen sedang bermain solitaire menggunakan komputer peribadinya ketika beliau
sepatutnya mendengar keterangan seorang profesor Sweden.
Gambar yang dirakam itu mungkin mendatangkan kemarahan
kepada ahli keluarga serta saudara mara 77 mangsa yang terbunuh akibat jenayah
yang diakui Breivik, 33, dalam dua serangan tahun lalu.
Jurucakap Mahkamah Oslo, Irene Ramm bagaimanapun menegaskan,
Eielsen amat memberi tumpuan kepada tugasnya.
Ramm memberitahu AFP, para hakim sentiasa memberi perhatian
tentang apa yang diperkatakan dan apa yang dikemukakan di mahkamah.
"Terdapat pelbagai cara untuk terus kekal fokus,''
katanya.
Kejadian tersebut bukannya kontroversi pertama membabitkan
kes perbicaraan berprofil tinggi itu kerana pada April lalu, seorang hakim
turut digugurkan selepas didapati mengeluarkan kenyataan mengenai kes berkenaan
di Facebook.
Perbicaraan ke atas Breivik dijangka berlangsung sehingga 10
minggu bagi membuktikan dia seorang yang waras atau sebaliknya. – AGENSI