GAMBAR menunjukkan anjing bernama Blue di Albuquerque, New
Mexico kelmarin.
ALBUQUERQUE, Amerika Syarikat (AS) - Seekor anjing tidak
bertuan di negeri New Mexico, memiliki simpanan bank sebanyak AS$1,800
(RM5,693), laman Facebook dan sebuah kandang anjing berhawa dingin.
Sebuah akhbar AS melaporkan anjing jantan tersebut, Blue
turut mempunyai seorang peguam yang berusaha supaya haiwan tersebut tidak
diikat dan boleh terus berkeliaran di sebuah kawasan tasik di sini setelah
ditinggalkan sedekad lalu.
Majlis Perbandaran Albuquerque dijadualkan bertemu para
penyokong Blue pada 13 Jun depan bagi menentukan nasib anjing tersebut.
Pemilik bersama sebuah pasar raya di sini, Janice Conner
berkata, kisah Blue bermula sekitar 10 tahun lalu.
Anjing tersebut yang ditinggalkan di sini katanya, telah
dipelihara oleh seorang individu sehingga 'tuannya' meninggal dunia dua tahun
lalu.
Selepas itu, Blue berkeliaran di pasar raya berkenaan dengan
anjing tersebut diberi makan dan hidup bersama komuniti tempatan hingga musim
bunga lalu apabila seorang wanita berusia 48 tahun dilaporkan mati digigit
beberapa ekor anjing pitbull dekat pasar raya tersebut.
Menurut Connor, seorang wanita telah membuat aduan bahawa
Blue pernah menderam terhadapnya selepas insiden tersebut.
Seorang peguam di sini Hilary Noskin, memberitahu, dia
sedang berusaha supaya Blue dibenarkan tinggal berhampiran pasar raya tersebut
tanpa diikat.
"Anjing ini ialah klien kesayangan saya, Blue seekor
anjing yang baik dan tidak ganas," katanya.
Conner berkata, penduduk di sini mendermakan lebih AS$1,800
untuk kos perubatan dan perundangan Blue selain membina sebuah kandang lengkap
dengan pendingin hawa dan alat pemanas untuk anjing tersebut.
Menurutnya, dia juga mengumpulkan lebih 1,100 tandatangan
sokongan terhadap Blue di akaun Facebook Bluedog EB-Mascot untuk anjing
berkenaan, - Agensi
empunya blog : jangan main2 ... nanti kena saman ...