DONETSK, Ukraine - Tonggak pertahanan Portugal, Joao Pereira menganggap pertemuan menentang Sepanyol pada aksi separuh akhir Euro 2012 di Donbass Arena awal pagi Khamis ini adalah 50-50.
Pereira berkata, perlawanan itu akan menjadi berbeza berbanding ketika aksi persahabatan antara kedua-dua pasukan dua tahun lalu.
Biarpun ketika itu Portugal berjaya melakar kemenangan 4-0, namun Pereira menjelaskan bahawa skuad La Roja pasti akan tampil dengan corak permainan yang berbeza kali ini.
"Ia akan menjadi perlawanan 50-50. Saya tidak pasti sama ada kami akan menonton semula rakaman perlawanan persahabatan dua tahun lalu tetapi apa yang pasti, ia akan menjadi perlawanan yang berbeza.
"Ketika kami menang 4-0 ke atas Sepanyol pada perlawanan persahabatan itu, mereka (Sepanyol) beraksi dengan bersahaja dan tidak berada dalam keadaan tertekan.
"Namun, kini ia akan menjadi lebih sukar buat kami. Pada kempen Piala Dunia, kami bersaing hebat untuk menang tetapi akhir Sepanyol mencatatkan kemenangan 1-0.
"Kami yakin kami mampu menewaskan Sepanyol dan saya harap kami akan menang," kata Pereira.
Portugal memulakan kempen Euro kali ini dengan hambar apabila tewas 0-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B menentang Jerman.
Bagaimanapun, skuad kendalian Paulo Bento itu kembali bangkit apabila melakar kemenangan dalam dua baki perlawanan kumpulan iaitu ke atas Denmark 1-0 dan Belanda (2-1).
Meskipun, anak-anak buah Bento dilihat mempamerkan peningkatan tetapi Pereira mengingatkan rakan-rakan sepasukannya agar berhati-hati dengan corak permainan Sepanyol.
"Biarpun kami tewas pada perlawanan pertama tetapi kami telah berjaya mempamerkan peningkatan.
"Saya harap kami tidak akan melakukan kesilapan kerana Sepanyol pasti akan menggunakan kesempatan tersebut bagi menjaringkan gol.
"Kami perlu berhati-hati dengan pemain tengah Sepanyol yang berkebolehan melakukan hantaran-hantaran yang merbahaya dan mengelirukan," jelas Pereira. - Agensi