SANDAKAN - Penduduk Kampung Tanjung Pisau-Lalason dekat sini
semalam gempar apabila mendapati tiga kubur lama di kampung tersebut berlubang
akibat diceroboh dan digali oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kubur yang telah berusia lebih 50 tahun dan terletak
berhampiran kawasan sungai itu ditemui dalam keadaan baru sahaja digali. Ia
disedari oleh beberapa penduduk yang kebetulan menjalankan aktiviti memukat
ikan di situ.
Difahamkan, ketiga-tiga kubur itu digali sedalam lebih satu
meter dengan beberapa batu nisan dibiarkan berselerak.
Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati tulang-tulang si
mati tidak hilang.
Seorang penduduk, Abdul Kifli Ghani, 45, berkata, tiga kubur
yang digali itu ialah pusara Allahyarham kakaknya dan dua anak saudaranya yang
disemadikan sejak tahun 1963.
"Kuburan ini telah lama, namun kami sentiasa datang
untuk membersihkannya.
"Tidak sangka pula ada pihak lain sanggup menggali
kubur ini," kata Abdul Kifli ketika ditemui di sini semalam.