PEMAIN Harimau Muda, Ahmad Hazwan Bakri (kiri) diasak pemain Qatar,
Abdelkarim Hassan Fadlalla ketika perlawanan persahabatan antarabangsa di
Stadium Shah Alam semalam. Harimau Muda menang 2-0.
JURULATIH skuad bawah 22 tahun (B-22) Qatar, Alain Andre
Christian Perrin mengakui terkejut dengan peningkatan mendadak skuad muda
Malaysia yang menang dengan agregat 2-0 pada perlawanan persahabatan
antarabangsa menentang pasukannya di Stadium Shah Alam semalam.
Menurut beliau, corak permainan Harimau Muda kini jauh lebih
tersusun berbanding semasa tewas 0-4 kepada pasukannya dalam satu aksi
persahabatan di Doha tahun lepas.
“Kami tewas kepada pasukan lebih hebat. Malaysia sudah
bersedia menempuh kelayakan Piala AFC di Myanmar nanti,” katanya kepada
pemberita semalam.
Pada perlawanan semalam, Malaysia terlebih dahulu di depan
hasil sepakan percuma kapten, Irfan Fazail pada minit ke-26 sebelum pemain
gantian, Md. Rozaimi Abd Rahman menjamin kemenangan bergaya tuan rumah minit
ke-68.
Mengulas lanjut, Christian Perrin begitupun percaya
kekalahan tersebut tidak akan menjejaskan moral pemainnya yang diundi dalam
Kumpulan C pada kelayakan Piala AFC nanti.
Dalam pada itu, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee
menjelaskan, senarai akhir 23 pemain yang bakal ke Myanmar hanya akan diketahui
dalam tempoh terdekat.
“Saya gembira dengan kemenangan ini yang disifatkan sebagai
penyuntik moral sebelum ke Myanmar,” katanya.
Sementara itu, kemenangan skuad negara dibayangi oleh
insiden kad merah yang dilayangkan kepada pemain Harimau Muda yang sedang
meningkat naik, Muhammad Nazmi Faiz Mansor kerana menumbuk pemain Qatar,
Abdelkarim Hassan Fadlalla pada penghujung babak pertama.
Dia berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan
tindakan Abdelkarim yang turut menerima kad merah selepas melakukan terjahan
keras terhadap pemain negara, Mohd. Azrif Nasrulhaq.
Muhammad Nazmi yang berjaya mengikat kontrak dengan Kelab
Liga Divisyen 1 Liga Portugal, SC Beira- Mar baru-baru ini dilayangkan kad
merah oleh pengadil, Nagoor Amir Noor Mohamed.
Ketika mengulas insiden itu, Kim Swee berkata, Muhammad
Nazmi perlu lebih matang dan tenang mengawal perasaan jika mahu berjaya sebagai
pemain bola sepak.
“Nasib baik ia sekadar perlawanan persahabatan, jika tidak
sudah tentu ia menjejaskan persiapan kita jika ia berlaku dalam kelayakan Piala
AFC.
“Saya percaya ini pengajaran yang berguna buat Nazmi,”
katanya.
Dalam pada itu, Nazmi semasa ditemui memohon maaf kepada
semua peminat akibat tindakannya itu.
Menurutnya, dia yakin konsentrasinya tidak terjejas dengan
insiden tersebut.
Pada aksi kelayakan Piala AFC nanti, Malaysia diundi dalam
Kumpulan G bersama Korea Selatan, Taiwan, Filipina, Vietnam dan Myanmar.