KIEV, Ukraine - Jurulatih Itali, Cesare Prandelli menganggap tuah lebih memihak kepada skuad kendaliannya apabila berjaya menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir Euro 2012 awal pagi semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Olympik, Kiev itu, Itali menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.
Pemain gantian, Alessandro Diamanti muncul wira Itali apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti terakhir skuad The Azzurri selepas penjaga gol berpengalaman, Gianluigi Buffon berjaya menyelamatkan sepakan penalti tonggak pertahanan England, Ashley Cole.
Sebelum itu, Riccardo Montolivo gagal menyempurnakan sepakan kedua Itali manakala sepakan penalti yang dilakukan pemain sayap England, Ashley Young sekadar menggegar palang gol.
Jurulatih England, Roy Hodgson menganggap kemenangan menerusi sepakan penalti adalah lebih kepada faktor tuah dan perkara itu turut diakui sendiri oleh Prandelli.
"Saya sangat setuju dengan kenyataan Hodgson. 80 peratus kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti adalah berdasarkan tuah.
"Jelas sekali, beberapa pemain yang berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut adalah disebabkan mereka sentiasa tenang dan fokus selain sudah biasa mengalami tekanan seperti itu.
"Begitupun, saya tetap bersetuju dengan Hodgson kerana tuah adalah satu perkara yang penting dalam penentuan sepakan penalti," kata Prandelli.
Berdasarkan statistik, Itali sememangnya berhak untuk memenangi perlawanan awal pagi semalam.
Ini kerana, skuad The Azzurri mendominasi 64 peratus kawalan bola selain melakukan 35 perubaan tepat ke arah pintu gol pihak lawan berbanding England yang sekadar melakukan sembilan percubaan.
Lebih mengejutkan, Itali berjaya mendominasi perlawanan dan ia suatu yang di luar jangkaan kerana sebelum ini, ramai penganalisis bola sepak menganggap peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50.
Bagaimanapun, Prandelli memberitahu, beliau sama sekali tidak terkejut dengan persembahan yang dipamerkan barisan pemainnya.
"Saya tidak terkejut kerana saya tahu kami berkemampuan untuk menentukan hala tuju perlawanan.
"Apa yang membimbangkan adalah kami membiarkan England melakukan serangan balas terlalu banyak. Mujur, kami beraksi dengan baik untuk mengekang pergerakan mereka itu.
"Kami cuba untuk membuatkan England kembali membuka ruang tetapi tidak berjaya. Jadi, kami mengatur gerakan serangan menerusi kepantasan," kata Prandelli. - AFP