Dunia : Penduduk mogok harga petrol naik


PENUMPANG menunggu di sebuah terminal bas yang kosong di Bangalore semasa mogok besar-besaran diadakan di India semalam.


NEW DELHI - Bandar raya ini hampir lumpuh ekoran penduduknya mengadakan mogok untuk membantah kenaikan harga petrol di India.

Protes tersebut yang dianjurkan oleh parti pembangkang dan beberapa kesatuan sekerja menyebabkan banyak premis perniagaan ditutup dan sistem pengangkutan awam turut tergendala.

Jurucakap parti pembangkang, Parti Bharatiya Janata (BJP), Prakash Javdekar mendakwa mogok mereka telah berjaya apabila jutaan rakyat membantah kenaikan harga petrol.

"Harga petrol kini melambung tinggi. Pemerintah pula seperti sedang tidur tetapi hari ini kita akan mengejutkan mereka," kata seorang pemilik kedai runcit di sini Ravikant Sahai.

Harga petrol termasuk cukai naik AS$0.13 sen (RM0.41 sen) minggu lalu dengan bahan tersebut dijual pada harga sekitar 77.53 rupee (RM4.35) seliter di beberapa bandar raya utama di India.

Pemerintah sebelum ini menyatakan, kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan ekoran penurunan nilai mata wang rupee. – AFP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik