PINTU masuk Masjid Sultan Lingga yang dibina pada tahun 1801
di kota Daik.
SENI silat sendeng yang dipersembahkan dua orang belia
tempatan kepada pelancong di Daik, Lingga.
PERJANJIAN London yang ditandatangani antara Inggeris dan
Belanda pada 17 Mac 1824 telah memecahkan empayar Johor-Riau-Lingga hingga
mengubah alam Melayu buat selama-lamanya.
Perjanjian itu meletakkan Semenanjung Malaysia dan Singapura
di bawah empayar Inggeris manakala Kepulauan Riau-Lingga di bawah Belanda,
sekali gus memecahkan bangsa Melayu yang tinggal sebumbung dalam empayar
kesultanan itu.
Menyertai Ekspedisi Jejak Warisan Jawi III (JWJ III) di
Kepulauan Riau-Lingga baru-baru ini, penulis merasakan seolah-olah pulang ke
kampung halaman.
Pertama penulis menjejakkan kaki di kepulauan ini, penulis
dapat merasakan ia mempunyai banyak persamaan dengan orang Melayu di Malaysia.
Majoriti penduduk di kepulauan ini didiami masyarakat
Melayu. Suasana, cara hidup, bahasa, makanan dan kehidupan mereka tidak banyak
beza dengan masyarakat Melayu di Malaysia. Masakan seperti asam pedas
dan
sambal tumis iaitu masakan yang popular di Malaysia juga cukup popular dalam
kalangan orang Melayu di kepulauan ini.
Bandar Tanjungpinang dilihat bagaikan metropolis Kuala
Lumpur pada awal tahun 80-an dengan deretan kedai, kesibukan kenderaan dan
pergerakan orang ramai.
Bagi anggota ekspedisi, Saiful Anwar Yahaya atau lebih mesra
dengan panggilan Tok Pol, melihatkan suasana di sepanjang sebatang jalan yang
dipenuhi dengan kedai makan di Tanjungpinang mengingatkan beliau pada Kampung
Baru, Kuala Lumpur sekitar awal tahun 80-an.
Sejarah orang Melayu
“Makanan, minuman dan orangnya semuanya serupa. Malah
teringat kisah lalu makan masakan asli kampung di Kampung Baru,” katanya ketika
menjamu selera di sebuah kedai makan.
Namun, kemajuan di Tanjungpinang agak ketinggalan berbanding
metropolis Kuala Lumpur dan bandar raya lain di Malaysia.
Semasa dalam perjalanan dengan feri menuju ke sebuah pulau,
penulis berkenalan dengan seorang penulis bebas Henry Santoso, 38, berasal dari
Batam yang berketurunan Melayu dan Jawa.
Mengetahui penulis seorang wartawan berketurunan Melayu dari
Malaysia, beliau tambah bersemangat bercerita tentang sejarah dan kehidupan
orang Melayu di Kepulauan Riau-Lingga.
“Kita asalnya satu tetapi
penjajah yang memisahkan kita. Hidup orang Melayu di Lingga ini amat banyak
persamaan dengan orang Melayu di Malaysia,” katanya yang pernah beberapa kali
ke Malaysia.
Menurut Henry, orang Melayu di
Malaysia cukup beruntung memperoleh peluang yang lebih baik terutamanya
melibatkan bidang pendidikan dan ekonomi berbanding orang Melayu di kepulauan
tersebut.
“Walaupun kita dibezakan dengan
negara masing-masing, jangan sesekali kita lupa bahawa kita asalnya satu. Kita
perlu bersatu sebagai satu masyarakat Melayu,” tegas Santoso.
Ekspedisi diteruskan ke Pulau
Benan. Ketika turun dari feri, kami disambut dengan persembahan silat, alunan
kompang dan deretan bunga manggar dipegang kanak-kanak Melayu pulau ini.
Menariknya, apabila melihat cara
sambutan itu sama dengan cara masyarakat Melayu di Malaysia menyambut tetamu
malah bunyi alunan kompang itu amat mirip dengan alunan kompang di kampung halaman
penulis di Batu Pahat, Johor.
Menurut Sahlan, 42, yang
mengiringi penulis melawat sekitar kampung di Pulau Benan, masyarakat Melayu
merangkumi lebih 90 peratus daripada jumlah 1,000 orang penduduk pulau,
manakala selebihnya ialah orang Jawa dan kaum Cina.
“Kita memang ada belajar kompang
dan silat di pulau ini, yang diwarisi turun temurun. Silat cekak, kuntau dan
sendeng masih dipelajari golongan belia sebagai mengisi waktu lapang terutama
pada malam hari.
“Kebanyakan daripada kami hidup
dengan hasil laut sebagai nelayan. Kami juga sedang berusaha meningkatkan
pelancongan di sini dan berharap bidang ini mampu meningkatkan kehidupan kami,”
katanya.
Seorang wanita yang dikenali
sebagai Hamidah, 49, menghidangkan air kelapa muda dicampur gula Melaka kepada
anggota ekspedisi. Bila ditanya di mana beliau belajar membuat gula Melaka,
Hamidah menjawab daripada moyangnya di Melaka.
“Saya dan ramai orang di pulau
ini ada saudara-mara di Melaka dan Johor. Makanan tradisional orang Melaka
seperti asam pedas dan manisan dibuat daripada gula Melaka memang menjadi
kegemaran kami di sini.
“Ada juga antara kami yang tahu mengalun muzik ghazal dan
menari tarian zapin yang amat popular di Johor,” katanya menambah lagu Gadis
Melayu nyanyian Jamal Abdillah menjadi kegemaran masyarakat Melayu Pulau Benan.
Seorang penternak ikan, Mohammad Salim, 51, turut menjemput
penulis dan anggota ekspedisi JWJ III untuk menjamu selera di rumahnya.
Lauk sotong masak sambal tumis dan ikan cencaru kering bakar
yang dihidang bersama nasi panas walaupun agak ringkas, tetapi cukup
menyelerakan.
Selesai makan, penulis dan anggota ekspedisi JWJ III sempat
berbual dengan Mohammad Salim berkenaan kehidupan masyarakat Melayu di pulau
ini.
“Kami di sini tidak mempunyai peluang sebanyak yang
diperoleh orang Melayu di Malaysia, jadi jangan duduk menunggu untuk disuap,
rebut peluang dengan sepenuhnya.
“Kaum Melayu telah memajukan Malaysia sejak dulu lagi, jadi
jangan sia-siakan penat lelah nenek moyang kamu itu. Mereka lakukannya untuk
faedah generasi seterusnya,” katanya. – Bernama