Rencana : Labah-labah menyerang India


SPESIES labah-labah dipercayai tarantula yang menyerang penduduk di India mampu menerkam mangsa. - Gambar hiasan


 PENDUDUK sebuah kampung di Assam, India yang sedang meraikan Festival Bihu tiba-tiba diserang segerombolan labah-labah. - Gambar hiasan

Tarantula melompat cetus panik

Ia kedengaran seperti satu adegan filem seram tetapi kegembiraan perayaan keagamaan, Bihu, di sebuah kampung di Sadiya, negeri Assam, India bertukar gempar apabila sekumpulan besar labah-labah menceroboh kampung dan menggigit penduduk.

Menurut Times of India, serangga berkaki lapan itu tiba-tiba muncul di Kampung Chaulkhowa Nagaon pada 8 Mei lalu tanpa diketahui dari mana datangnya. Akhbar itu turut menggelar insiden itu sebagai 'serangan labah-labah'.

Salah seorang mangsa labah-labah pembunuh itu, Jintu, terselamat selepas dimasukkan ke Hospital Awam
Sadiya pada hari yang sama. Dia mengadu sakit teruk dan loya. Malangnya, seorang jirannya mati selepas digigit makhluk berbulu itu.

Bagaimanapun, itu hanyalah permulaan. Berdozen lagi orang datang ke hospital pada beberapa hari berikutnya dengan kesan gigitan labah-labah di tubuh masing-masing.

Salah seorang daripada mereka ialah budak sekolah yang dipercayai mati akibat serangan yang tidak disangka-sangka itu.

Bomoh

Pihak berkuasa daerah Tinsukia serta-merta meminta orang ramai supaya tidak keluar rumah pada waktu
malam. Mereka bahkan melakukan semburan asap bagi membunuh haiwan araknid itu.

Sepasukan saintis daripada Universiti Dibrugarh dan Universiti Gauhati tiba di Sadiya beberapa hari kemudian bagi mengumpul spesimen terbabit.

Ketua Jabatan Sains Kehidupan, Universiti Dibrugarh, Dr. L R Saikia berkata pihaknya gagal mengenal pasti spesies labah-labah itu.

Beliau berkata, rupa labah-labah itu sama seperti tarantula namun ada kemungkinan ia spesies baharu. Ini kerana spesies itu lebih agresif dan boleh melompat ke atas tubuh manusia atau benda yang menghampirinya.
Bagaimanapun, kematian dua mangsa itu tidak dapat disahkan puncanya kerana mayat mereka dibakar sebelum bedah siasat dilakukan.

Seorang doktor di Hospital Sadiya berkata, kesemua mangsa telah mendapatkan khidmat bomoh terlebih dahulu sebelum dibawa ke hospital.

"Bomoh terbabit menoreh kesan gigitan dengan pisau cukur, membuang darah kotor dan membakar kesan luka itu. Tindakan itu juga boleh menyebabkan mangsa bertambah sakit malah mengundang kematian," kata doktor itu seperti dipetik akhbar tempatan.

Ketika saintis India masih mengkaji tahap bisa labah-labah di Sadiya, tarantula terus memiliki reputasi sebagai labah-labah paling digeruni kerana pernah membunuh manusia.

Bagaimanapun, ia bukan alasan untuk para penggemarnya tidak memelihara haiwan itu.

Bagi Presiden Persatuan Tarantula Malaysia, Dannis Teh, tarantula merupakan khazanah yang sangat bernilai. "Bilangan ahli persatuan ini yang sebanyak 3,000 orang sudah cukup untuk menggambarkan populariti tarantula di negara ini," beritahu beliau.

Minat Dannis, 29, terhadap tarantula bermula pada tahun 1998 apabila beliau mengkaji hobi individu di luar negara yang gemar menjadikan spesies eksotik itu sebagai haiwan peliharaan.

"Koleksi tarantula pertama saya adalah daripada spesies Costa Rican Zebra yang dibeli pada harga RM38 pada tahun 2005. Saya membelinya daripada seorang peminat tarantula tempatan.

"Ketika itu, tarantula berkenaan hanya sebesar duit syiling 5 sen, sekarang saiznya ialah 11 sentimeter," cerita beliau yang memiliki lebih 40 ekor tarantula di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Dannis, beliau juga seorang peminat anjing tetapi perbelanjaan untuk mengumpul tarantula adalah lebih murah.

Saiz

"Secara peribadi saya berpendapat tarantula merupakan spesies yang mengagumkan dan banyak lagi sifat dan sensitivitinya yang kita belum ketahui sepenuhnya," ujarnya sambil memberitahu, tiada labah-labah yang lebih besar daripada tarantula.

Dannis berkata, beliau gemar membeli labah-labah yang masih kecil kerana ingin melihat tumbesarannya.

"Walaupun digembar-gemburkan sebagai berbisa, saya tidak pernah disengat tarantula," cerita Dannis yang mengikuti kisah serangan tarantula di India baru-baru ini.

Dannis menyifatkan tarantula sebagai makhluk pemalu, suka bersembunyi dalam kegelapan dan hanya bertindak menyerang apabila berasa dirinya terancam.

"Jika mahu mengelak daripada disengat tarantula, jangan berlagak seperti hero semasa bermain dengannya," kata beliau yang telah berjaya melakukan pembiakbakaan tarantula yang menghasilkan corak berwarna-warni pada badannya.

Dari segi pemakanan, labah-labah itu diberikan makanan sekali atau dua kali dalam seminggu di samping air yang secukupnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Zoo Negara, Dr. Muhammad Danial Felix menjelaskan, terdapat lebih 900 spesies tarantula di dunia manakala sebanyak 23 spesies tarantula direkodkan ditemui di Malaysia pada tahun lalu.
Beliau berkata, terdapat perbezaan antara labah-labah biasa dengan tarantula walaupun kedua-dua spesies berasal daripada keluarga yang sama.

"Labah-labah bersaiz kecil dan hanya membina sawang di atas dan memerangkap mangsa dengan sawang, manakala tarantula membina sawang di atas tanah seperti katil untuk berehat sahaja," ujarnya.

Menurut beliau, dari segi fizikal tarantula bersaiz lebih besar berbanding labah-labah serta berbulu. Saiznya boleh mencecah lebih 30 sentimeter.

Katanya, seekor tarantula betina mempunyai jangka hayat sehingga 35 tahun berbanding tujuh tahun bagi tarantula jantan.

Habitat makhluk ini boleh didapati di Asia, Afrika, Amerika Tengah dan Selatan serta Australia.

Kata Muhammad Danial, 46, makanan utama tarantula adalah labah-labah yang lebih kecil, serangga, belalang dan lipas.

Selain itu, katanya, tikus, cicak, katak, ular dan anak burung turut menjadi makanannya.

patik : kat kampung , banyak labah2 buat sarang kat siling ...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik