Salah seorang ahli keluarga mangsa menunjukkan tempat
kejadian. Gambar kecil ialah Mohd Faris Faisal Hisham.
HAZELEN LIANA KAMARUDIN
16 Jun 2012
KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut
selepas tertembak diri sendiri menggunakan pistol, yang disangka pistol mainan,
di rumah neneknya di Ketereh di sini
malam tadi sebaik selesai menyambut hari jadinya.
Sementara bapa saudaranya, Helmi Ghazali berumur 31 tahun
yang kebetulan berada di belakang mangsa, cedera di bahagian bahu dan berada
dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata,
kejadian tersebut berlaku pada jam 9 malam apabila mangsa, Mohd Faris Faisal
Hisham menjumpai pistol jenis Walter, yang disimpan oleh bapa saudaranya iaitu
seorang anggota polis di bawah meja.
"Mangsa yang menyangkakan ia adalah pistol mainan telah
melepaskan tembakan dan salah sebutir peluru menembusi dahinya.
"Mohd Faris meninggal dunia sebaik sahaja dibawa ke
Klinik Kesihatan Ketereh," kata beliau kepada pemberita pada satu sidang
media di sini, hari ini.
Mohd Faris yang baru sahaja menyambut hari lahirnya
dikatakan bermain pistol milik bapa saudaranya yang merupakan seorang anggota
polis di sebuah negeri lain selepas selesai majlis kenduri ibu saudaranya di
sini.
"Kerana menyangkakan pistol itu barang mainan,
kanak-kanak itu dipercayai tertembak dengan peluru pistol itu menembusi dahinya
sebelum mengenai dada bapa saudaranya," kata beliau.
Jalaluddin berkata, sewaktu kejadian, anggota polis itu
sedang menunaikan solat Isyak dan senjata api berkenaan disorokkan dalam laci
sebuah meja, namun ditemui mangsa yang menyangkakan ia adalah pistol mainan.
"Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian kerana
tertembak," katanya lagi.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan
kerana menyebabkan kematian. Mangsa diklasifikasikan maut mengejut.
Beliau yang menyifatkan insiden itu sebagai kes terpencil
berkata, anggota polis itu akan disiasat dan tindakan susulan akan diambil.
Jenazah Mohd Faris, anak sulung daripada dua beradik itu
dikebumikan di Tanah Perkuburan Ketereh, petang ini selepas selesai bedah
siasat itu dilakukan.
Dalam pada itu, Benama memetik ibu Mohd Faris, Fadhilah
Rifa'in, 27, berkata, dia menetap di Pasir Mas dan datang ke Ketereh untuk
majlis perkahwinan adiknya.
Katanya, pada masa sama dia sempat menyambut hari lahir
anaknya itu secara kecil-kecilan dan sebelum kejadian dia berada di luar rumah
untuk mengemas
meja dan kerusi sementara menunggu pembekal khemah datang
mengambil barangan yang disewa selepas selesai majlis perkahwinan itu.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan saya
tidak tahu apa yang berlaku. Sebaik saya masuk ke dalam rumah, saya lihat anak
saya terkulai di atas lantai.
"Suasana menjadi kelam-kabut apabila seorang lagi ahli
keluarga saya meraung kesakitan akibat luka di dada," katanya dan menambah
anaknya itu dibawa ke klinik Kesihatan Ketereh sebelum disahkan meninggal
dunia.
Sementara itu, nenek Muhammad Faris, Norizan Abd Wahab, 46,
berkata, selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah, dia masuk ke
dalam rumah dan melihat Helmi meraung kesakitan, manakala cucunya dalam keadaan
kaku.
"Ketika itu, ramai ahli keluarga yang melihat keadaan
menantu saya (Helmi) kerana cucu saya diam saja.
"Saya segera
melihat cucu saya dan mengangkatnya ke dalam lori pembekal khemah yang baru
tiba untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh sebelum disahkan
meninggal dunia," katanya.
Sementara itu, ibu saudara Mohd Faris, Nor Ain Farhana Yasin,
15, yang berada di dalam rumah berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan dia
hanya mendengar bunyi satu das tembakan dilepaskan.
patik : Al-Fatihah ...