Dunia : Kempen henti buang air besar di tempat terbuka



MUMBAI 20 April - Perbuatan penduduk India membuang air besar di tempat-tempat awam menyebabkan beberapa badan bukan kerajaan mengambil tindakan melancarkan kempen kesedaran.

Agensi berita UPI melaporkan Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) India memperkenalkan maskot kempen tersebut dengan harapan dapat menyedarkan masyarakat India tidak membuang air besar di tempat terbuka.

Maskot dikenali sebagai Mr. Poo itu diperkenalkan melalui video mu­zik bertajuk Poo Party dan berjaya menyaksikan lebih 100,000 orang berikrar akan menggesa ketua kerajaan mereka untuk memastikan In­­­dia menghapuskan ‘perbuatan' tersebut.

Menurut UNICEF, lebih 620 juta penduduk India tidak menggunakan tandas dan 28 juta kanak-kanak tidak mempunyai kemudahan itu di sekolah mereka.

Justeru, pertubuhan itu berkata, mereka memperkenalkan kempen Poo2Loo untuk meningkatkan kesedaran di peringkat kerajaan dan masyarakat di negara ini.

"Lebih separuh daripada penduduk India membuang air besar berjumlah lebih 65 juta kilogram setiap hari.

"Jika ia berterusan, keadaan itu akan menyebabkan jangkitan kuman, penyakit dan epidemik." kata laman web Poo2Loo .

Penyelaras kempen UNICEF itu, Maria Fernandez berkata, keadaan itu berlaku di kawasan pedalaman dan juga bandar.

"Mereka membuang air besar di mana-mana sahaja. Justeru tindakan perlu diambil untuk mengelak perbuatan ini berterusan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140421/lu_09/Kempen-henti-buang-air-besar-di-tempat-terbuka#ixzz2zXEnXUMC
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...