Lahad Datu Buat Saya Rasa Nak Berperang: AR Badul
Filem Darah Satria dan Prebet Lapok cukup hebat suatu ketika dahulu. Paling terkesan filem Darah Satria yang mana memperlihatkan perjuangan tentera menentang komunis di hutan. Realitinya hari ini, ia dianggap lebih kurang sama dengan situasi yang berlaku di Lahad Datu, Sabah.
Penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelawak terkenal, AR Badul punyai seribu satu kenangan mengenai hidup ala tentera. Berkampung dalam tempoh lama bagi menyiapkan filem tersebut, sudah pasti Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie terasa terkesan apabila ada yang mempertikaikan perjuangan anggota keselamatan kita di Sabah.
Reaksi Badul mengenai insiden ini..
Bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan filem Darah Satria?
Idea ini bermula daripada produser ketika itu yang mahukan genre berbeza daripada cinta. Tetapi dalam masa sama, tidak meninggalkan terus elemen cinta dalam filem. Menerusi perbincangan, kami ambil keputusan untuk mengetengahkan kisah tentera.
Mesejnya mudah, iaitu tugas sebagai tentera adalah lain daripada yang lain yang sedia berkorban diri untuk negara. Masih wujud unsur cinta tetapi dengan cara positif di mana tunang anggota tentera ini rela dan mendoakan orang tersayang pergi berjuang di medan perang.
Selain berlakon, saya bertindak sebagai penolong pengarah, di samping Datuk Aziz Satar sebagai pengarah.