ALOR STAR: “Hanya disebabkan terpengaruh dengan rakan kerana mahu hidup mewah, saya sanggup melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab hingga menggadai masa depan dan kerjaya yang dibina selama ini,” kata penghuni Penjara Pokok Sena, Nor (bukan nama sebenar), 27, yang dijatuhi hukuman penjara 19 bulan sejak April lalu selepas didapati bersalah bersubahat dengan rakan sekerja menjual pelbagai darah disumbangkan orang ramai kepada hospital swasta.
Nor yang pernah bertugas di sebuah hospital kerajaan di Pulau Pinang berkata, dia menjadi rambang mata apabila mampu memperoleh antara RM2,000 hingga RM3,000 menerusi akaun banknya setiap kali menjual darah bersama rakannya kepada sebuah hospital swasta di negeri sama.
“Pada mulanya saya tidak berminat bersubahat dengan rakan sekerja kerana menyedari perbuatan itu salah, namun desakan dan pengaruh rakan sekerja membuatkan saya mengambil jalan pintas untuk hidup senang hasil jualan bekalan darah.
“Setiap kali ada program menderma darah atau sebagainya di hospital, kami akan mengasingkan beberapa pek darah sama ada jenis A, AB dan O ke kotak lain untuk dijual kepada pihak lain.
“Biasanya kami dapat menjual satu pek bersamaan 450 pain pada harga RM600. Sejak itu, saya mula terjebak dengan kegiatan ini kerana mahu hidup senang dengan cara mudah,” katanya ketika ditemui dalam Program Jalinan Kasih Sempena Aidiladha, di sini, semalam.
Menurutnya, ada kalanya baki wang dalam akaun banknya mencecah RM13,000 hasil daripada jualan darah.
“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah. Satu hari Jabatan Audit membuat pemeriksaan di Unit Bekalan Darah dan mendapati dalam rekod tidak sama dengan jumlah sebenar.
“Pihak pengurusan kemudian menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan saya dan rakan yang melakukan perbuatan keji ini. Saya didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara.
“Kini saya menyesal terhadap perbuatan itu kerana kerjaya saya musnah sekelip mata gara-gara ingin hidup mewah,” katanya yang gembira dapat bertemu dan memeluk ibunya yang datang melawatnya.
Sumber : METRO