Nama Paling Pendek Di Dunia


“Walaupun nama saya hanya satu huruf, S, namun pelbagai kenangan manis dilalui terutama ketika akad nikah apabila suami, Nuzrul Hassan, 31, terpaksa melafazkan tujuh kali dan pengalaman itu tidak dapat dilupakan seisi keluarga dan saudara-mara yang hadir pada majlis yang diadakan pada 7 Julai 2007,” kata S, 24, menceritakan pengalamannya berdepan beberapa keadaan unik disebabkan namanya itu.
Menurutnya, sepanjang hidupnya, semua kenalan mulanya menyangka S nama timangan, namun apabila diberitahu ia nama sebenar, semua terdiam sebelum berkata ia sesuatu yang pelik.
“Bukan saja kenalan, malah suami sendiri terkejut apabila diberitahu nama saya S ketika kami bertunang empat tahun lalu.
“Apapun, saya bersyukur dengan nama diberikan bapa dan tidak pernah merungut apabila berdepan pelbagai keadaan menghairankan kerana memang sesuatu yang jarang berlaku.
“Memandangkan perkataan susah dan senang bermula huruf S, bapa kerap menasihatkan saya supaya bersusah-susah dulu supaya senang kemudian.
“Malah, tiga adik perempuan saya turut diberikan nama pendek seperti Liz, 22, Maz, 11, dan Hani, 9,” katanya yang tinggal di Taman Perumahan Rakyat Lima Kedai, di sini.
Sementara itu, bapanya, Rusli Ahmad Abdul Karim, 50, berkata, pemilihan satu huruf sebagai nama anak sulung daripada empat beradik itu berikutan pengalaman hidupnya sendiri.


“Arwah ayah memiliki tiga nama (tiga suku kata) hingga ia menjadi bahan ejekan ramai termasuk menyatakan saya mempunyai tiga bapa. Pengalaman itu menyebabkan saya mengambil keputusan memberikan nama paling pendek kepada anak saya iaitu hanya huruf ‘S’.
“Namun bak kata pepatah, rezeki anak terletak pada namanya, S kini berusia 24 tahun menjalani kehidupan rumah tangga bahagia dan berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang diminati biarpun mempunyai seorang cahaya mata,” katanya.
Rusli berkata, sebelum menamakan anaknya, dia pernah merujuk nama pilihannya itu dengan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) sebelum pendaftaran nama anak sulungnya itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Biarpun tidak menghalang, Jaij tidak menggalakkan pemberian nama seumpama ini kerana bimbang menjadi ikutan masyarakat selain tidak mempunyai maksud.
“Namun, saya menerangkan tujuan dan niat memberikan nama sedemikian kepada mereka bagi mengelak salah faham,” katanya.
Katanya, walaupun nama anaknya terlalu pendek dan unik, dia dan isterinya pernah beberapa kali berdepan kesulitan termasuk ketika membawa S berurusan di klinik apabila seorang jururawat menganggap dia leka mengisi borang kerana hanya mencatatkan huruf S.
“Namun, selepas saya memberitahu perkara sebenar, mereka pelik dan tidak kurang menyatakan pilihan nama itu sesuatu yang baru kerana tidak pernah didengar sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun tidak mengetahui sama ada nama S mempunyai maksud tertentu, dia sentiasa berdoa supaya nama itu membawa rezeki kepadanya termasuk berjaya dalam hidup.
“Saya bersyukur kerana S dapat melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang Teknologi Seni Bina di Institut Teknologi Perindustrian Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) sejak setahun lalu kerana itu adalah impiannya,” katanya yang mengusahakan gerai Pisang Misai Corner di Gelang Patah.

Sumber : SINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik