SULTAN Perak, Sultan Azlan Shah berkenan bertemu pemain
selepas Malaysia mengejutkan Pakistan di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam tadi.
Malaysia menang 3-2.
Muhammad Razie ledak gol kemenangan seminit sebelum tamat
JARINGAN Muhammad Razie Abd Rahim seminit sebelum tamat
perlawanan membantu tuan rumah, Malaysia mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke
atas Pakistan dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2012 di Ipoh, malam
tadi.
Ketika perlawanan tampak menuju seri 2-2, pakar pukulan
sudut penalti negara itu menguis kencang melepasi celah kaki penjaga gol
Pakistan, Imran Shah untuk menghasilkan kemenangan pertama negara dalam kejohanan
edisi ke-21 itu.
Pada perlawanan malam tadi, Malaysia yang memburu kemenangan
pertama sebaliknya tambah tertekan apabila lawan mendahului 2-0 selepas 12
minit saingan berlangsung.
Muhammad Umar Bhutta membuka jaringan pada minit ke-4
diikuti oleh Shafqat Rasool lapan minit kemudian.
Begitupun anak buah Tai Beng Hai bangkit melawan dan Amir
Farid Ahmad Fuzi menyemarakkan semangat tuan rumah apabila menolak ke dalam
gawang bola yang melantun ke arahnya dari tampanan pemain lawan, Rashid Mahmood
sejurus sebelum rehat.
Malaysia menggandakan usaha pada babak kedua dan berjaya
menekan hebat kubu lawan. Usaha mereka berhasil apabila penjaring prolifik,
Faisal Shaari menyamakan kedudukan pada m-48.
Sementara itu, rekod tanpa kalah New Zealand lebur apabila tumpas
2-1 kepada Britain. Begitupun kekalahan itu tidak menjejas kedudukan pasukan
Kiwi itu selaku pendahulu kerana masih berada di takhta carta berdasarkan
kelebihan jaringan.
Jaringan Ashley Jackson pada m-18 dan Matt Daly (27)
mencukupi buat pasukan ranking keempat dunia itu merakam kemenangan keduanya.
Manakala gol New Zealand disumbangkan oleh Andy Haward (62).