Tazkirah Maal Hijrah: Ramai Berazam Tapi...


SALAM Maal Hijrah. Setiap permulaan tahun baru hijrah, dunia Islam biasanya menyambut perayaan maal hijrah dengan mengambil sempena hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah.
Hijrah nabi bukan semata-mata proses perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, atau satu keadaan ke satu keadaan yang lain. 
Sebagaimana difahami kebanyakan orang, bahkan ia adalah satu manifestasi perubahan sesebuah masyarakat untuk mencapai dan menggapai kemuliaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat. 

Sempena Maal Hijrah ini ramai yang berazam untuk berubah. Tetapi perubahan masih tidak kunjung tiba kerana perangai masih berada di tahap lama.

Yang tinggal hanya azam dan keinginan. Lebih pelik lagi, kita minta orang lain berubah, minta anak-anak berubah, marah pada pasangan kenapa tidak berubah.

Memang tanggungjawab kita perlu nasihat-menasihati, cuma janganlah asyik kita menyuruh orang lain saja berubah. Bagaimana dengan diri sendiri? 

Kita semua hendak berubah tetapi tidak tahu bagaimana dan dari mana hendak mula kerana bimbang jika salah ikut kaedah pasti perubahan itu tidak kekal lama kerana kembali semula kepada perangai dulu. 

Hangat-hangat tahi ayam saja. Maka di sini mari kita berkongsi cara-cara memulakan perubahan dan berhijrah. 


1) Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi lebih yakin. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri anda. Ini kerana tidak mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah sedang­kan diri anda sendiri masih berada pada takuk lama orang akan cakap anda seorang yang cakap tidak serupa bikin. 


2) Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa yang singkat atau dalam tempoh sekelip mata saja. 

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah s.w.t anda akan dapat berubah seperti apa yang anda inginkan. Walaupun perlahan, anda akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri anda. 


3) Lakukan perubahan pada masa sekarang juga dan jangan bertangguh untuk tempoh lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama bertangguh ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk melakukannya. 

Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang. 


4) Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Anda perlu memaksa diri anda untuk berubah dengan sepenuh hati. 

Jika diri anda tidak dipaksa anda seolah-olah memanjakan diri anda untuk berubah. Nafsu anda juga akan menjadi semakin degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu anda dan jangan biarkan ia mengawal diri anda. 


5) Apabila berjaya melakukan perubahan diri maka anda perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia menjadi sebati dengan diri. Jika perubahan itu hanya dibiarkan begitu saja, anda hanya akan berjaya untuk berubah seketika sahaja. 

Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang dilakukan. Anda perlu sentiasa melakukannya. Kesimpulannya, kita perlu berubah menjadi orang yang lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam. 

Jangan pula berubah kerana disebabkan orang lain. Setiap yang diamalkan perlu dilakukan dengan penuh ikhlas kerana Allah s.w.t demi kebaikan diri sendiri. 

Selepas itu, barulah bolehlah kita mengajak orang lain berubah sama. Jika dilakukan dengan niat dan cara yang betul, Insya-Allah orang lain juga akan berubah seperti yang diharapkan. 

Pastinya, kita mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak orang lain berubah ke arah kebaikan.
Artikel Asal : SINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik