Sukar terima alasan lapuk : Razif Sidek


“BUKAN tak ada pemain berbakat boleh diketengahkan tapi orang di dalam BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sendiri yang ‘sayang’ sangat mahu menggugurkan pemain meskipun mereka gagal beraksi dengan baik.”

Demikian pandangan bekas ketua jurulatih kebangsaan, Razif Sidek menafikan alasan Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh yang mendakwa negara hanya mempunyai ‘pool’ pemain yang amat kecil sekali gus sukar untuk diketengahkan pada saingan lebih tinggi.


Kenyataan Mohd Nadzmi itu hadir selepas skuad Piala Thomas negara sekali lagi mempamer aksi mengecewakan di Wuhan, China apabila kandas seawal saingan suku akhir sekali gus memanjangkan kemarau gagal meraih piala berprestij itu sejak kali terakhir pada 1992.

Namun bagi Razif, sukar untuk menerima alasan lapuk itu kerana berdasarkan pemerhatiannya, negara tidak pernah ketandusan melahirkan ramai pemain berbakat baik pada peringkat sekolah mahupun negeri.


“Cuma masalah sekarang adalah di pihak BAM apabila ada pemain tertentu yang bernaung di bawah persatuan ini menjadi ‘kesayangan’ orang-orang berkuasa dalam BAM. “Bermakna, walaupun pemain ini gagal mempamer prestasi terbaik, kedudukan mereka masih selamat sebab sudah dijaga individu yang mempunyai kuasa dalam persatuan. Sepatutnya pemain yang sering mempamerkan kegagalan dikeluarkan, bukan ‘disimpan’ terus dalam BAM.


“Bila situasi ini berlaku, bagaimana pemain berbakat dari luar nak masuk dalam BAM? Sudah tentu sukar untuk mereka mendapat tempat kerana kuota dalam BAM sudah penuh.

“Sepatutnya BAM lebih terbuka untuk memanggil pemain luar yang dirasakan berkemampuan memikul tanggungjawab pada peringkat antarabangsa. Janganlah asyik guna alasan lapuk bila sudah gagal,” katanya.


Bagi Razif, satu perubahan besar perlu dilakukan dalam BAM bukannya terus menyalahkan sistem, pemain serta jurulatih yang pada anggapannya sudah melaksanakan tugas dengan baik.
BARANG PANAS BAIK PUNYA SEJAK 2010
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik