BIARPUN dianggap bahasa picisan namun dominasi bahasa rojak
dalam kehidupan masyarakat moden masa kini cukup ketara.
Penggunaan yang semakin meluas terutama di kalangan generasi
muda juga dikhuatiri bakal mengikis nilai identiti bangsa tanpa disedari.
Berilah pelbagai alasan, isu bahasa rojak seharusnya
ditangani segera bagi mengelakkannya terus melarat apatah lagi sikap masyarakat
yang lebih mementingkan konsep mudah dan praktikal boleh mengancam kewibawaan
bahasa standard.
Persoalannya, mengapa bahasa rojak sangat digemari? Apakah
kelebihannya?
Ketua Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz, berkata,
penggunaan bahasa rojak yang ‘sempoi’, ‘santai’ namun bergaya adalah faktor ia
menjadi pilihan.
Menurutnya, konsep kehidupan masyarakat terutama generasi
muda hari ini yang ‘malas’ untuk berfikir juga menjaga standard menjadikan
mereka lebih selesa dengan penggunaan bahasa itu.
“Masyarakat hari ini lebih mementingkan penampilan, bukan
saja gaya tapi bahasa juga perlu sofistikated dan mengikut perkembangan semasa.
“Bahasa rojak tidak memerlukan unsur peraturan, justeru
mudah diterima ramai menjadikan masyarakat sangat selesa menggunakannya,”
katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, biarpun mudah namun masih tetap
mencemarkan identiti bahasa dan budaya sekali gus menghakis jati diri bangsa.
Menurutnya, setiap bangsa di dunia dihakimi melalui
peradaban bahasa dan sosial, justeru penggunaan bahasa rojak yang berleluasa
dikhuatiri boleh menjejaskan usaha memartabatkan keunikan identiti sesuatu
bangsa.
“Bahasa adalah imej yang melambangkan keperibadian dan
ketinggian budaya bangsa, justeru biarlah bahasa digunakan bersesuaian.
“Ramai menganggap isu ini picisan namun kesedaran untuk
menggunakan bahasa standard perlu ada. Jika tidak ia akan mengikis penggunaan
bahasa sedia secara perlahan-lahan.
“Sekali gus membunuh nilai identiti bangsa hingga
mencacatkan perjalanan bahasa untuk generasi akan datang pula,” katanya.
Pusat Rujukan Bahasa Melayu Dewan Bahasa Pustaka
mentakrifkan bahasa rojak sebagai bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang
digunakan penuturnya.
Dengan kata lain, percampuran penggunaan bahasa Melayu yang
diselangselikan dengan bahasa asing seperti bahasa Inggeris sekali gus boleh
menjadikan struktur ayat tunggang-langgang.
Penggunaan bahasa berkenaan juga lebih sinonim kepada
generasi muda yang dikaitkan dengan sikap ‘tidak kisah’ dengan apa yang melanda
institusi bahasa negara.
Mengulas mengapa bahasa rojak pantas berkembang dan menjadi
pilihan, beliau berkata penggunaan yang ringkas, mudah serta senang difahami
menjadikan ia dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Malah, akuinya, bahasa ini tidak mengenal usia, latar
belakang serta status penutur menyebabkan masyarakat mudah menerimanya.
“Lazimnya, masyarakat memang mudah tertarik dengan sesuatu
yang mudah kerana hari ini semuanya perlu serba pantas tidak terkecuali bahasa.
“Penggunaannya tidak salah dan isu bahasa rojak pun bukanlah
isu yang perlu diperbesarkan. Cuma penggunaan tidak terkawal terutama di
kalangan pelajar sekolah boleh memberi impak negatif dalam peperiksaan.
“Bayangkan jika mereka menulis karangan menggunakan bahasa
rojak. Bukan guru saja pening malah memberi kesan terhadap pemberian markah
sedangkan bahasa Melayu adalah subjek wajib lulus,” katanya.
Beliau tidak menyekat jika bahasa rojak digunakan dalam
pertuturan seharian biarpun boleh memberi kesan jangka panjang.
“Ia mungkin menyakitkan telinga segelintir orang namun
kesannya tidaklah mendalam berbanding penggunaannya dalam penulisan
peperiksaan. Fokus utama ialah golongan pelajar.
“Ini yang perlu diteliti dan diambil tindakan kerana saling
berkait rapat dengan kepentingan sistem pemarkahan peperiksaan. Bahasa rojak
tidak diterima.
“Ini satu kerugian sedangkan mereka boleh memperoleh markah
yang baik dengan penggunaan bahasa teratur. Inilah bahayanya bahasa rojak jika
tindakan proaktif tidak diambil,” katanya.
Akuinya, bahasa rojak juga sudah dinilai standard sebagai
bahasa Melayu campur sedangkan kerana bahasa lain tidak menghadapi masalah
serupa.
Menurutnya, bahasa Melayu senang dimanipulasi berbanding
bahasa lain kerana penggunaan bahasa itu dipenuhi pelbagai perkataan dan kota
kata indah serta puitis.
“Biarpun bahasa Inggeris bahasa antarabangsa, ia jarang
dimanipulasi kerana struktur ayatnya kukuh. Umumnya, bahasa Inggeris juga
ringkas dan terus pada maksud.
“Berbanding bahasa Melayu, walaupun mempunyai struktur kukuh
namun penggunaan perkataannya sangat luas, panjang, indah, berbunga dan
melankolik.
“Menyebabkan mereka yang kurang sabar bertindak mencari
perkataan paling mudah untuk mengungkapkannya seperti ‘sayangkan u’ berbanding
‘sayangkan awak’,” katanya.
Perkembangan pantas teknologi juga pada masa sama memberi
kesan terhadap penggunaan bahasa rojak.
“Penggunaan bahasa rojak dulu hanya terbatas melalui
pertuturan namun kini sudah biasa digunakan dalam komunikasi maya menyebabkan
ia semakin merebak tanpa kekangan.
“Pada masa sama, mereka yang mempertahankan penggunaan
bahasa juga mungkin sudah ‘penat’ dan gagal bersaing dengan tempias teknologi
menyebabkan bahasa rojak semakin mendominasi.
“Sekali gus mencacatkan usaha dilakukan bagi memartabatkan
penggunaan bahasa Melayu standard yang menjadi kebanggaan generasi dulu,”
katanya.
Tidak menolak juga kemungkinan bahasa rojak adalah pengaruh
rakan, beliau berkata, perlu disuntik kesedaran untuk mendaulat dan menggunakan
bahasa yang betul.
“Sekurang-kurangnya, ia boleh membantu memperoleh markah
yang baik dalam peperiksaan. Ini bukan soal tidak ada gaya atau sebagainya,
sebaliknya kualiti dan standard yang sudah ditetapkan.
“Justeru, perlu wujudkan satu kesedaran di kalangan generasi
muda supaya tidak terlalu mengagungkan bahasa rojak yang bercampur baur antara
bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya.
Antara mekanisme boleh dilakukan ialah dengan mengadakan
bengkel deklamasi sajak, penulisan pantun, karangan, cerita pendek dan
sebagainya bermula di peringkat sekolah rendah.
“Walaupun usaha ini terpaksa bersaing dengan teknologi,
sekurang-kurangnya kepekaan asas terhadap penggunaan bahasa yang betul sudah
ada dan boleh diasah serta dipraktikkan.
“Langkah awal perlu disusun supaya mereka tahu menyusun
rentak penggunaan antara bahasa rojak dan keperluan bahasa standard.
“Sekali gus menyedarkan masyarakat betapa pentingnya
mempertahankan penggunaan bahasa yang betul sekali gus tidak teraba-raba mencari
nilai identiti diri dan bangsa,” katanya.