Kes bunuh Sosilawati: ‘Pathma untung atas angin’




SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu bekas peguam N Pathmanabhan tidak mempunyai wang dalam akaun dan hanya membuat untung atas angin melalui jual beli tanah antara dia, Datuk Sosilawati Lawiya dan Ample Quality Sdn Bhd.

Bagaimanapun, cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin itu disangkal Pathmanabhan, tertuduh pertama kes bunuh Sosilawati dan tiga lain, semasa bela diri, semalam.

Hujahan pihak pendakwa sebelum ini menyatakan Sosilawati membayar RM3 juta ke akaun pelanggan firma guaman Pathma Nalli & Partners pada 3 Ogos 2010.

Pathmanabhan mengaku membuat pengeluaran daripada akaun pelanggan tersebut dan memasukkan ke akaun peribadinya dengan alasan transaksi itu sah kerana mempunyai surat kuasa yang ditandatangani Sosilawati.

Saiful Edris kemudian mencadangkan surat dimaksudkan sebenarnya dibuat Pathmanabhan sendiri pada 30 Ogos 2010, tapi diletakkan tarikh 11 Ogos 2010.

Ishak: Kalau Sosilawati yang keluarkan surat itu, dia mesti guna kepala surat syarikatnya, Southern Simphony?

Pathmanabhan: Tidak. Dia datang ke pejabat saya di Banting. Masa itu dia tidak bawa kepala surat dan dia arahkan saya buat surat itu untuk ditandatangani.

Cadangan Saiful Edris itu seiring dengan soal balas Timbalan Pendakwa Raya Ishak Abdul Ghani yang mencadangkan sebenarnya Pathmanabhan memaksa Sosilawati menandatangani surat itu di Ladang Gadong pada 30 Ogos 2010.

Ishak: Apabila dia tidak mahu tanda tangan, awak arahkan pekerja ladang pukul tiga yang lain.

Pathmanabhan: Tidak setuju.

Ishak: Selepas awak dapat tanda tangan beliau, awak arahkan pekerja habiskan mereka dan bunuh di depan mata awak?

Pathmanabhan: Tidak setuju.

Ishak turut menarik perhatian mahkamah apabila beliau bertanya mengenai seseorang yang disebut sebagai T Selvi.

Ishak: Apa pertalian kamu dengan dia?

Pathmanabhan: Dia klien saya.

Ishak:Apa berlaku padanya?

Pathmanabhan: Dia telah dibunuh.

Ishak: Saya cadangkan awak pinjam wang daripadanya?

Pathmanabhan: Tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar Tahir bersambung hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik