Kelantan mampu pertahan trofi


KEHILANGAN dua mata ketika dipaksa terikat dengan keputusan seri 0-0 menentang Johor FC di Stadium Pasir Gudang kelmarin tidak merencatkan peluang Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi musim lalu.

Disebalik faktor keletihan yang menghantui barisan Kelantan kelmarin, jurulatihnya, Bojan Hodak percaya pasukannya masih berada di landasan betul untuk mengembalikan rentak kemenangan dalam baki perlawanan liga selepas ini.
“Memang saya tidak puas hati tapi satu mata sudah memadai buat kami. Secara keseluruhannya pemain sedikit letih dan Johor FC pula berjaya memberikan saingan kepada kami.
“Apa pun saya yakin kami berpeluang untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super. Saya percaya selepas cuti rehat tiga hari, pemain akan bangkit untuk kembali mencatatkan kemenangan dalam baki saingan liga musim ini,” katanya semalam.

Dalam perlawanan kelmarin, The Red Warriors yang dilihat menguasai perlawanan gagal menghasilkan gol namun sebaliknya hampir dihukum penyerang tuan rumah tetapi bernasib baik apabila peluang terbaik menerusi tandukan Arthur Hendrique sekadar menggegarkan palang.

Bagi mengelakkan keputusan sama, semua pemain Kelantan diberikan rehat selama tiga hari dan akan kembali menjalani latihan pada 31 Mei.

“Farhan jelas letih selepas bermain penuh ketika menentang Terengganu manakala Matyo (Norshahrul) pula masih bergelut untuk kembali ke prestasi sebenarnya.
“Sebab itu saya terpaksa gantikan mereka dengan Ramzul (Zahini Adenan) dan Azlan (Ismail). Azlan berpeluang untuk menjaringkan gol di minit akhir perlawanan namun dia sedikit gopoh dalam segi penyudah,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik