PERSEORANGAN pertama negara, Datuk Lee Chong Wei mudah
menewaskan Jacob Malieka 21-13, 21-10 dalam saingan Kumpulan C, Piala Thomas di
Gimnasium Pusat Sukan Wuhan, hari ini. Malaysia kalahkan Afrika Selatan 5-0. -
Foto Edmund Samunting
WUHAN: Malaysia menang mudah untuk menundukkan Afrika
Selatan 5-0 dalam saingan peringkat kumpulan C kejohanan Piala Thomas di
Gimnasium Pusat Sukan Wuhan di sini, hari ini.
Perseorangan pertama negara, Datuk Lee Chong Wei mudah
menewaskan perseorangan pertama republik itu Jacob Malieka 21-13, 21-10.
Beliau berkata, meski pun menentang pasukan bukan pilihan,
perlawanan pertama itu penting bagi pemain negara mendapatkan suasana
kejohanan.
"Perlawanan pertama ini juga untuk kami mengetahui
keadaan sebenar stadium seperti keadaan pendingin hawa dan angin.
"Ini penting sebagai persediaan kerana esok kami akan
menghadapi perlawanan yang sukar iaitu bertemu pasukan Denmark," katanya.
Perseorangan kedua negara, Liew Daren juga tidak menghadapi
masalah untuk mengalahkan Willem Viljoen 21-11, 21-9 manakala perseorangan
ketiga Muhammad Hafiz Hashim pantas mengenepikan cabaran Prakash Vijayanath
21-10, 21-8.
Beregu utama negara, Tan Boon Heong/Koo Kien Keat pula
menumpaskan beregu Afrika Selatan, Dorian Lance James 21-8, 21-12 manakala Goh
Wei Shem/Lim Khim Wah mengalahkan Prakash Vijayanath/Jacob Malieka 21-11,
21-14.
Sementara itu, Chong Wei berkata, beliau sebagai
perseorangan pertama serta Koo dan Tan sebagai beregu pertama 'wajib'
menyumbang mata dalam perlawanan menentang Denmark esok.
"Esok adalah perlawanan yang sengit buat pasukan. Jadi
kita mesti bersedia, mesti fokus, kerjasama dan buat sehabis baik,"
katanya.
Pertemuan Malaysia dengan Denmark, yang akan menentukan
juara kumpulan C, dijangka sengit berikutan naib johan kumpulan dijangka diundi
bertemu pilihan pertama China dalam peringkat suku akhir Rabu ini.
Denmark yang juga pilihan ketiga kejohanan membariskan
perseorangan kelima dunia Peter Hoeg Gade, Jan O Jorgensen, Hans-Kristian
Vittinghus, serta beregu Carsten Morgensen/Mathias Boe dan Mads
Conrad-Petersen/Jonas Rasmussen. - BERNAMA