Mohammad Ghaddar
TANGISAN Kelantan - dua kali gagal sebelum ini - akhirnya
terubat apabila buat julung kali berjaya menjulang Piala FA selepas sepakan
penalti menjadi garis pemisah kemenangan mereka menewaskan Sime Darby 1-0 pada
final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Mohammad Ghaddar muncul wira pasukan dengan gol
menerusi sepakan penalti pada minit ke-58.
Kelantan merakam sejarah tersendiri selepas tiga
kali mencuba (2009, 2011 dan 2012), tetapi lawan kerdil dari Liga Perdana itu
juga harus diberi pujian pada aksi sulung di pentas final apabila mempamerkan persembahan
mantap sehingga tamat permainan.
Anak buah Bojan Hodak yang hadir dengan reputasi
juara Liga Super, musim lalu seharusnya merakam kemenangan lebih besar tetapi
kekentalan benteng pertahanan lawan kendalian Ismail Zakaria memaksa The Red
Warriors berusaha lebih keras sebelum dapat memecah kebuntuan.
Sime Darby mencuba dan memberi segala yang terdaya
namun keringat mereka itu gagal mengikut jejak langkah satu lagi kelab, Majlis
Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) yang layak ke final kejohanan besar apabila
muncul juara baru Piala Malaysia pada 2003.
Sebaik babak pertama bermula, Kelantan menguasai
permainan tetapi gagal menembusi benteng Sime Darby yang dikawal kapten
pasukan, Es Lizuan Zahid Amir serta penjaga gol, Redzuan Harun yang
menyelamatkan dua percubaan tepat oleh pelawat sepanjang 45 minit pertama
permainan.
Sime Darby turut memiliki beberapa peluang terbaik
menembusi benteng Kelantan menerusi serangan balas tapi gagal dalam penyudahan.
Usaha terbaik muncul pada minit ke-45 menerusi larian solo Patrick Wleh dari
garisan tengah, tetapi hantarannya gagal menemui rakan sepasukan.
Selepas rehat, kedua pasukan saling berbalas
serangan tetapi Kelantan terlebih dulu berpeluang membolosi gawang lawannya
menerusi sepakan penalti Ghaddar pada minit ke-58. Penalti diberi pengadil
selepas Obinna Nwaneri dijatuhkan oleh benteng Sime Darby.
Kemasukan Razali Umar Kandasamy sebelum itu hampir
meletakkan Sime Darby kembali seimbang dengan Kelantan, tetapi peluang tiga
lawan satu sejurus selepas ketinggalan, gagal dimanfaatkan jentera serangan
tuan rumah. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat permainan.