PERSEORANGAN badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menjalani
rawatan susulan menggunakan alat pengimbas 'High Field Extremity MRI' di Kuala
Lumpur Sports Medicine Centre, semalam. - Foto BERNAMA
Ada peluang cerah beraksi di Olimpik, cedera tidak serius:
Pakar
TANGISAN Lee Chong Wei akhirnya berbaloi apabila dimaklumkan
kecederaan buku lali kanannya ketika beraksi di Kejohanan Piala Thomas, Selasa
lalu dijangka mampu disembuhkan dalam tempoh kurang daripada sebulan.
Ia seakan-akan memberi sinar baru buat Chong Wei beraksi di
Sukan Olimpik penghujung Julai ini sekali gus membuka ruang kembali untuk
prospek pingat negara itu memburu pingat emas pertama negara.
Ujian imbasan ‘Magnetic Resonance Imaging’ (MRI) dan X-ray
dilakukan dua orang pakar, Dr Saw Khay Yong dan Dr Nicholas Geary di Pusat
Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) semalam mendapati Chong Wei tidak
mengalami kecederaan serius – tanpa perlu menjalani sebarang pembedahan.
“Selepas pemeriksaan, saya bersama Dr Saw dan Dr Nicholas
duduk bersama berbincang dan mendapati tiada keretakan berlaku dan hanya
terdapat koyak pada ligamen saja.
“Dia hanya perlu menjalani tiga suntikan stem cell
masing-masing sekali untuk setiap lima hari. Chong Wei sebelum ini pernah
menjalani rawatan ini dan saya yakin dengan keberkesanannya jika berdasarkan
rekod yang ada,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk
Dr Ramlan Abdul Aziz, semalam.
Ditanya sama ada tahap kecergasan atlit itu boleh berada di
tahap sebenar ketika aksi Olimpik nanti, Dr Ramlan berkata dia optimis Chong
Wei mampu mengatasinya tetapi perlu didorong dengan persiapan rapi termasuk
daripada sudut persediaan mental.
Sementara itu Chong Wei berkata, kecederaannya itu
sedikitpun tidak mematahkan semangat meraih pingat emas sulung negara pada
temasya terbesar dunia itu.
“Doktor memberitahu saya perlu tinggal di hospital satu atau
dua hari lagi dan mengambil masa tiga atau empat minggu lagi untuk sembuh
sepenuhnya. Ini sudah tentu satu berita baik untuk saya. Saya akan cuba
melupakan kecederaan ini supaya tidak fobia apabila beraksi nanti dan berharap
ia akan cepat sembuh,” katanya.
BARANG PANAS SEJAK 2010