PADANG SERAI – Dua remaja yang pernah menggemparkan negara kerana berkahwin muda mengumumkan mereka telah pun bercerai dengan talak satu kerana tiada persefahaman lagi antara mereka.
Mohd. Fahmi Alias, 19, dari Kampung Naga Lilit di sini mengakui usia rumah tangganya tidak sampai setahun apabila mengesahkan dia telah melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, Nor Fazira Saad, 13.
Lelaki yang bekerja kebun bersama bapanya itu berusia 18 tahun ketika dia berkahwin dengan Fazira yang ketika itu berusia 12 tahun.
“Jodoh kami tidak panjang, tidak sampai setahun. Saya ambil dia cara elok jadi saya lepas cara elok," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurutnya, kes rumah tangganya menjadi runcing kerana ada pihak lain cuba memporak-perandakan rumah tangganya mereka setelah isterinya mula bekerja di pekan Padang Serai.
“Dulu saya pernah berjanji untuk bertanggungjawab malah bersedia untuk menjadi seorang suami yang baik tetapi keadaan menjadi sebaliknya,” katanya.
Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Kampung Padang Cina di sini, Mohd. Nazar Husain pada 17 November tahun lepas.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2ltzqAFW6
Hakcipta terpelihara