Euro 2012 : Punca England kalah



ENGLAND masih belum mampu untuk bergelar sebagai gergasi bola sepak Eropah.Pada kempen Euro 2012, perjuangan mereka hanya sampai ke peringkat suku akhir.
Mereka ditunjuk jalan keluar oleh Itali menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan masa tambahan.
Kualiti yang ada dengan skuad kendalian Roy Hodgson itu masih belum mencukupi untuk membawa mereka mara lebih jauh meskipun aksi mereka pada saingan peringkat kumpulan telah menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan yang mereka harungi.
Ramalan sebahagian besar penyokong England sebelum bermulanya aksi menentang Itali itu ada kebenarannya.
Mereka berpendapat bahawa jika England mahu menang perlawanan tersebut, ia akan berlaku dalam tempoh 90 minit tetapi jika ia berlarutan sehingga ke sepakan penalti, England akan tewas.
Majoriti daripada penyokong mereka tidak yakin dengan kemampuan England untuk memenangi sepakan penalti kerana ia sudah terbukti sebelum ini.
Ramalan tersebut ternyata benar apabila England ditunjuk jalan keluar selepas penentuan sepakan penalti tersebut.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Ashley Young dan Ashley Cole menjadi punca kekalahan England kerana mereka gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut.
Sepakan Young terkena palang gol sementara ledakan Cole diselamatkan oleh penjaga gol Itali, Buffon.
Kegagalan mereka telah memusnahkan hajat besar England yang mahu membuktikan kritikan penyokong terhadap mereka adalah tidak benar.
Bagi Hodgson, dia tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana menganggap nasib sekali lagi tidak menyebelahi mereka.
“Semua pemain telah melakukan yang terbaik, tetapi nasib tidak memihak kepada kami.
“Dalam perlawanan genting seperti ini, kadang-kadang kamu memerlukan sedikit tuah untuk meraih kemenangan, namun tuah itu menyebelahi Itali,” katanya. - Agensi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik