Rampasan buku Irshad Manji: JAWI tidak perlu perintah mahkamah


KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak memerlukan perintah mahkamah untuk merampas buku "Allah Liberty & Love - Courage To Reconcille Faith & Freedom" karya penulis kontroversi, Irshad Manji berikutan kandungan yang menyalahi hukum syarak.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasa JAWI, Wan Jaafar Wan Ahmad, berkata serbuan dua hari lalu itu dibuat mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan, yang meliputi penerbitan bertentangan hukum syarak.
"Tidak perlu court order (perintah mahkamah). Kita bukan menggeledah. Kita hantar perintah untuk hadir membantu siasatan. Sebelum kita datang untuk merampas pun kita hantar risikan untuk mencari buku terbabit.
"Kalau seseorang itu kena tuduh dan perlu hadir di mahkamah, baru perlunya order of court," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan penerbit buku kontroversi itu ZI Publications yang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Jawi susulan rampasan yang dibuat di sebuah kedai buku tersebut.

Kenyataan yang dilapor portal berita Malaysiakini semalam, antara lain menyatakan pemilik dan pengarah syarikat itu Ezra Zaid mahu mengambil tindakan saman kepada Jawi kerana bertindak tanpa mengikut lunas undang-undang.

Ditanya mengenai kemungkinan tindakan undang-undang itu, Wan Jaafar berkata terpulang kepada syarikat tersebut selain menambah: "tidak apa..tidak jadi masalah kepada kita...kita bersedia."
Semalam Kementerian Dalam Negeri mengharamkan penerbitan buku tersebut kerana mengelirukan orang awam dan menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan hadis.

Timbalan Menterinya Datuk Abu Seman Yusop berkata, perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, kerana kandungannya 'boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.'

Buku itu diharamkan selepas kementerian menerima laporan dan ulasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Irshad, penulis beragama Islam kelahiran Uganda yang memegang kerakyatan Kanada dan menyokong gerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual(LGBT) mencetuskan kontroversi apabila datang ke Malaysia minggu lepas untuk melancarkan bukunya. – BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik