Piala Thomas: Malaysia mudah tundukkan Afrika Selatan 5-0


PERSEORANGAN pertama negara, Datuk Lee Chong Wei mudah menewaskan Jacob Malieka 21-13, 21-10 dalam saingan Kumpulan C, Piala Thomas di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan, hari ini. Malaysia kalahkan Afrika Selatan 5-0. - Foto Edmund Samunting


WUHAN: Malaysia menang mudah untuk menundukkan Afrika Selatan 5-0 dalam saingan peringkat kumpulan C kejohanan Piala Thomas di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan di sini, hari ini.

Perseorangan pertama negara, Datuk Lee Chong Wei mudah menewaskan perseorangan pertama republik itu Jacob Malieka 21-13, 21-10.
Beliau berkata, meski pun menentang pasukan bukan pilihan, perlawanan pertama itu penting bagi pemain negara mendapatkan suasana kejohanan.
"Perlawanan pertama ini juga untuk kami mengetahui keadaan sebenar stadium seperti keadaan pendingin hawa dan angin.

"Ini penting sebagai persediaan kerana esok kami akan menghadapi perlawanan yang sukar iaitu bertemu pasukan Denmark," katanya.

Perseorangan kedua negara, Liew Daren juga tidak menghadapi masalah untuk mengalahkan Willem Viljoen 21-11, 21-9 manakala perseorangan ketiga Muhammad Hafiz Hashim pantas mengenepikan cabaran Prakash Vijayanath 21-10, 21-8.

Beregu utama negara, Tan Boon Heong/Koo Kien Keat pula menumpaskan beregu Afrika Selatan, Dorian Lance James 21-8, 21-12 manakala Goh Wei Shem/Lim Khim Wah mengalahkan Prakash Vijayanath/Jacob Malieka 21-11, 21-14.
Sementara itu, Chong Wei berkata, beliau sebagai perseorangan pertama serta Koo dan Tan sebagai beregu pertama 'wajib' menyumbang mata dalam perlawanan menentang Denmark esok.

"Esok adalah perlawanan yang sengit buat pasukan. Jadi kita mesti bersedia, mesti fokus, kerjasama dan buat sehabis baik," katanya.

Pertemuan Malaysia dengan Denmark, yang akan menentukan juara kumpulan C, dijangka sengit berikutan naib johan kumpulan dijangka diundi bertemu pilihan pertama China dalam peringkat suku akhir Rabu ini.

Denmark yang juga pilihan ketiga kejohanan membariskan perseorangan kelima dunia Peter Hoeg Gade, Jan O Jorgensen, Hans-Kristian Vittinghus, serta beregu Carsten Morgensen/Mathias Boe dan Mads Conrad-Petersen/Jonas Rasmussen. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik