Malaysia rebah di tangan India




PEMAIN Malaysia, Mohd Shahrun Nabil Abdullah cuba mengawal bola daripada pemain India, Danish Mujtaba di Ipoh, malam tadi.

EPISOD cemerlang Malaysia dengan dua keputusan seri dalam perlawanan awal Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2012 akhirnya menemui noktah apabila tumpas 3-2 kepada India di Stadium Azlan Shah di Ipoh, malam tadi.

Walaupun bermain cemerlang, ia nyata tidak mencukupi buat anak buah Tai Beng Hai untuk mendapatkan kemenangan pertama walaupun mendapat sokongan padu hampir 10,000 penyokong tempatan, sebaliknya Malaysia kini berdepan tugas berat apabila dijadual bertemu naib juara tahun lalu, Pakistan, malam esok.
Pada perlawanan malam tadi, Malaysia menyerbu garang ke arah kubu India sebaik bermula untuk memaksa lawan bertahan pada lima minit awal tetapi dua peluang awal itu gagal disempurnakan penyerang muda, Faizal Saari.
Sebaliknya, India menyentap semangat anak buah Beng Hai apabila Danish Mujtaba membuka tirai jaringan menerusi serangan balas pantas pada minit ke-10, sebelum Shivendra Singh mengukuhkan kedudukan kepada 2-0 tiga minit kemudian, apabila pukulannya menewaskan penjaga gol S Kumar hasil pukulan sudut penalti.

Sebaik bersambung babak kedua, Malaysia merapatkan jurang menerusi Muhammad Amin Rahim pada minit ke-40 tetapi India kembali menguasai rentak permainan apabila mengembalikan jurang dua gol menerusi Tushar Khandker, empat minit kemudian.

Walaupun Malaysia bangkit merapatkan jurang melalui Muhd
Fitri Saari pada minit ke-59, jaringan penyamaan untuk menyalakan peluang negara seperti dua perlawanan lalu, tidak menjadi kenyataan.
Sementara itu, Argentina menemui sentuhan tepat pada masanya ketika mengejutkan pilihan utama, Britain 3-2, sekali gus melonjak ke tangga kedua di belakang New Zealand dalam carta kejohanan tujuh pasukan itu dengan enam mata daripada empat perlawanan setakat ini.

Jurulatih Argentina, Pablo Enrique Lombi yang gembira dengan kejayaan anak buahnya itu berkata, pemain sudah mendapat rentak selepas menyesuaikan diri dengan cuaca panas seperti ketika tewas kepada New Zealand dan Pakistan sebelum ini, sekali gus memberi kelebihan psikologi kerana bakal bertemu Britain dalam perlawanan pembukaan di Olimpik London nanti.

Korea Selatan juga mencatat kemenangan semalam apabila membenam Pakistan 4-0 menerusi dua gol Nam Hyun Woo dan masing-masing You Kyo Sik dan Hyun Hye Sung.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik