Showing posts with label kesihatan. Show all posts
Showing posts with label kesihatan. Show all posts

Kesihatan : Panaskan Dulu Air Tebu




SHAH ALAM: Penyediaan air tebu yang tidak mementingkan soal kebersihan ketika pemprosesan dilakukan boleh mengakibatkan keracunan makanan kepada penggemarnya.
Berdasarkan kajian perubatan, antara bakteria yang boleh mencemari air tebu yang diproses tanpa mementingkan soal kebersihan ialah E Coli, Enterococci, Citrobacter, Klebsiella dan Staphylococcus Aereus yang boleh menyebabkan sakit perut, cirit birit, muntah serta demam.

Pensyarah Mikrobiologi Makanan, Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Khalilah Abdul Khalil berkata, sepanjang proses menghasilkan air tebu boleh menyebabkan berlakunya pencemaran jika pengusahanya tidak mementingkan soal kebersihan.
“Apabila kulit tebu dibuang, ia akan dibasuh atau direndam dalam bekas air yang tidak dimasak digunakan berulang kali.

“Mesin tebu dan bekas untuk mengumpulkan air tebu juga tidak dibersihkan dengan sempurna menyebabkan bakteria boleh membiak,” katanya yang ditemui semalam.

Beliau berkata, hampas tebu diletakkan berdekatan boleh menarik lalat menyebabkan kehadiran bakteria yang boleh menyebabkan risiko keracunan makanan lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan, langkah di India yang juga melakukan cara pemprosesan tebu hampir sama dengan negara ini wajar diikuti.

“Di India dan beberapa negara lain yang juga menggemari air tebu, sedikit perahan limau dimasukkan selepas air itu diperah.

“Ia bukan saja menambah keenakan air tebu, malah asid limau mengurangkan jumlah bakteria di dalam air berkenaan,” katanya.

Dr Khalilah berkata, pengguna juga boleh memanaskan air tebu dibeli kira-kira lima minit sebelum dihidang bagi membunuh bakteria.

“Ia tidak perlu sampai mendidih kerana boleh menghilangkan vitamin C di dalam minuman itu, cukup sekadar panas sedikit bagi mengurangkan bakteria,” katanya.

Menurutnya, air tebu yang mengandungi vitamin C dan gula kompleks sebenarnya baik untuk kesihatan dan mereka yang menghidap diabetes juga boleh menikmatinya.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Panaskanduluairtebu/Article/index_html

KLIK JA BUTANG@IKON KECIK FACEBOOK / TWITTER / BLOG KAT BAWAH UNTUK KONGSI BERSAMA RAKAN KORANG

Kesihatan : Digalak berbuka sebiji tamar




BERPUASA kepada pesakit diabetes jenis 2 mungkin memberi cabaran tersendiri kepada mereka yang mengalaminya, tetapi dengan pengetahuan tepat dan amalan sihat mengikut saranan doktor, semua penghidap kencing manis mampu menjalani ibadat wajib itu tanpa komplikasi memudaratkan.
Bagi penghidap diabetes atau kencing manis, mereka perlu mengadakan perbincangan terlebih dulu dengan doktor mengenai sebarang perubahan gaya hidup termasuk amalan berpuasa supaya maklumat tepat dan nasihat sewajarnya dapat diberikan.
Ketua Unit Diabetes dan Endokrin Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Nor Azmi Kamaruddin berkata, demi keselamatan mereka, penghidap diabetes yang tinggal sendirian perlu memaklumkan kepada rakan atau keluarga terdekat mengenai niat berpuasa supaya boleh dibantu sekiranya berlaku sebarang komplikasi.

Beliau berkata, dalam kalangan penghidap diabetes warga emas, paras gula yang rendah dalam tubuh ketika berpuasa boleh mengakibatkan mereka pengsan, cepat lupa dalam jangka masa panjang boleh menjurus kepada masalah nyanyuk serta boleh terkena serangan sakit jantung bagi pesakit yang turut mempunyai penyakit lain seperti tekanan darah dan kolesterol tinggi.

“Namun jangan terkejut kerana diabetes bukan lagi penyakit orang tua, sebaliknya dua daripada 100 orang didapati sudah mendapat diabetes seawal usia 17 tahun dan dalam kalangan yang berusia 30 tahun, didapati satu daripada 20 orang atau lima peratus daripada populasi dewasa dikesan menghidap penyakit ini.

“Jadi bagi mereka yang memasuki usia 30 tahun, disaran menjalani pemeriksaan gula dalam darah kerana 44 peratus penduduk di negara ini mengalami masalah obesiti atau berat badan berlebihan,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Hiploglisemia Ramadan 2012 anjuran MSD.

Ini adalah diabetes paling lazim berlaku dan pada skala global, ia dihidapi lebih 220 juta orang atau kira-kira 90 peratus pesakit diabetes di seluruh dunia. Penyakit diabetes jenis 1 biasanya dihidapi kanak-kanak akibat masalah kelenjar pankreas yang berlaku sejak lahir di mana ia tidak dapat menghasilkan insulin secukupnya atau tiada penghasilan insulin langsung bagi mengangkut gula dalam darah.

Fakta menarik adalah 80 peratus daripada penghidap diabetes jenis 2 (diabetes orang dewasa) tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana tinggi dan berusia pada peringkat usia pertengahan, iaitu antara 45 hingga 64 tahun.

Keadaan yang serius ini menyaksikan bilangan penghidap diabetes dianggarkan meningkat daripada 171 juta orang pada 2000 kepada 366 juta menjelang 2030.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), dalam tempoh 18 tahun dari sekarang, pesakit diabetes di Malaysia dianggarkan mencecah 2.48 juta orang.

Diabetes pada orang dewasa ini berbeza dengan diabetes kanak-kanak (jenis 1).
Diabetes pada orang dewasa berlaku apabila wujud rintangan terhadap insulin di mana badan tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan sedangkan pankreas terus menghasilkan hormon ini. Insulin berperanan seperti kenderaan yang mengangkut gula dalam darah masuk ke dalam sel untuk ditukarkan ke bentuk tenaga.

Oleh kerana berlaku rintangan insulin, maka gula tidak dapat diangkut masuk ke dalam sel dengan cekap. Lama kelamaan gula akan berkumpul dan parasnya meningkat dalam darah. Inilah yang menyebabkan seseorang itu mengalami diabetes.

Dr Nor Azmi yang juga Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia berkata, penghidap diabetes perlu bijak menjaga dan memilih makanan sihat kerana pemakanan ketika berbuka puasa dengan pelbagai kuih-muih manis boleh membuatkan penyakit mereka semakin sukar dikawal.

Katanya, sebaiknya bagi menjaga paras gula dalam darah supaya sentiasa normal, digalakkan berbuka puasa hanya dengan sebiji kurma, satu atau dua jenis kuih tanpa minuman manis, kemudian menunaikan solat terlebih dulu sebelum makan malam.

“Ini kerana dalam tubuh ada sejenis hormon yang naik mendadak kerana rasa lapar akibat berpuasa sepanjang hari dan mengakibatkan kita makan terlalu banyak ketika berbuka, tetapi sekiranya kita makan sedikit dulu dan beri masa pada tubuh sebelum makan malam, maka paras hormon ini akan menurun. Ia secara tidak langsung akan membuatkan kita makan dengan lebih berhemah.

“Cara makan sebegini bukan saja sesuai untuk mereka yang mahu menjaga kesihatan, tetapi juga bagus bagi individu yang mencuba menurunkan berat badan sepanjang Ramadan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat salah tanggapan mengenai Ramadan dalam kalangan penghidap diabetes bahawa paras gula dalam tubuh mereka akan turun kerana tidak menjamah makanan sedangkan ia tidak benar.

Ini kerana tubuh tetap menghasilkan gula walaupun individu tidak mengambil sebarang makanan dalam tempoh berminggu. Ramai tidak tahu bahawa tiada pengeluaran insulin, paras gula dalam darah akan naik.

“Disebabkan itu, penghidap diabetes mesti bersahur bagi mengelak gula mereka daripada naik kerana tidak makan sepanjang hari,” katanya.

Penterjemah sambilan, Muhammad Kamal Muda, 46, berkata beliau disahkan menghidap diabetes 2005 selepas didesak isterinya supaya membuat pemeriksaan apabila menunjukkan simptom seperti mudah penat dan berat badan turun mendadak hampir 20 kilogram dalam tempoh empat bulan.

Sebaik mengetahui keputusan doktor itu, pada mulanya beliau mencari rawatan alternatif termasuk ubatan tradisional, tetapi kemudian beralih ke hospital kerajaan selepas keadaan gulanya tidak terkawal.

“Saya seorang yang suka makan, itulah masalahnya, tetapi sejak disahkan menghidap diabetes, saya kini lebih menjaga diet dengan makan sedikit dalam satu masa termasuk mengambil ubat bagi mengawal paras gula.

“Sebelum ini saya sangka jika kita berpuasa dan tidak makan apa-apa, paras gula akan turun, tetapi sebenarnya kita perlu menjaga pemakanan demi mengawal paras gula.

“Pengetahuan mengenai penjagaan paras gula supaya sentiasa normal perlu dicari daripada yang pakar dan melalui pembacaan bahan ilmiah perubatan, bukan sekadar mendengarnya daripada rakan-rakan,” katanya.

Selain mengambil ubat dua kali sehari, bapa kepada empat anak itu kini mengamalkan berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer setiap pagi dan hasil penjagaan makanan, beratnya kini di paras ideal.

Sementara itu, Pengarah Urusan MSD, Ewe Kheng Huat berkata, pihaknya memperkenalkan aplikasi mudah alih MSD yang membantu pesakit merekod bacaan gula mereka dan berkongsi dengan doktor masing-masing supaya paras gula dalam darah dapat dipastikan sentiasa berada dalam keadaan normal sekali gus kesihatan terpelihara.

Beliau berkata, aplikasi itu yang serasi dengan peralatan Apple seperti iPhone, iPod Touch dan iPad, boleh dimuat turun secara percuma melalui Kedai Aplikasi iTunes, dan boleh didapati di empat negara iaitu Malaysia, Arab Saudi, United Kingdom dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Arab.

“Ciri aplikasi ini menyediakan sokongan tambahan kepada mereka yang berpuasa dengan membolehkan paras gula direkod dengan mudah dan boleh disimpan dalam bentuk fail PDF atau dihantar ke akaun e-mel doktor.

“Aplikasi juga menyediakan petua dan maklumat untuk pengguna mengenai amalan berpuasa, selain waktu solat dan waktu berbuka,” katanya.

Ewe berkata, selain aplikasi berkenaan, pihaknya ada mengedarkan risalah maklumat, ‘Fakta-Fakta Mengenai Amalan Berpuasa Pada Bulan Ramadan’ bagi dijadikan panduan oleh pesakit diabetes beragama Islam.

Risalah itu turut memuatkan petua sebelum berpuasa, penjejak paras gula dalam darah setiap hari serta takwim untuk mencatat waktu solat dan berbuka. Ia boleh didapati di semua pejabat Persatuan Diabetes Malaysia seluruh negara dan kebanyakan klinik, hospital dan farmasi.


Faktor penyumbang diabetes:

  • Pertambahan berat badan, kegemukan
  • Kurang bersenam
  • Usia meningkat
  • Kerintangan terhadap insulin
  • Sejarah diabetes dalam keluarga
  • Keadaan intrauterus tidak optimum
  • Kumpulan etnik, kadar penyakit kencing manis juga dilaporkan lebih tinggi dalam kalangan masyarakat berketurunan Asia, Afrika, penduduk asli Amerika serta Australasia.
  • Wanita yang pernah dikesan mendapat diabetes ketika hamil juga mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kencing manis di kemudian hari.


    Fakta mengenai diabetes jenis 2:
  • Jenis penyakit kencing manis paling lazim berlaku.
  • Dihidapi lebih 220 juta orang atau kira-kira 90 peratus pesakit diabetes di seluruh dunia.
  • 80 peratus daripada penghidapnya tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana tinggi.
  • Majoriti penghidap berusia pada peringkat usia pertengahan iaitu antara 45 hingga 64 tahun.
  • Bilangan penghidap diabetes dianggar meningkat daripada 171 juta orang pada 2000 kepada 366 juta menjelang 2030.
  • Menurut WHO, dalam tempoh 18 tahun dari sekarang, pesakit diabetes di Malaysia dianggarkan mencecah seramai 2.48 juta.

  • Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/22

    Sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Digalakberbukasebijitamar/Article/index_html

    KLIK JA BUTANG@IKON KECIK FACEBOOK / TWITTER / BLOG KAT BAWAH UNTUK KONGSI BERSAMA RAKAN KORANG
  • Kesihatan : Khasiat Bawang Putih


    1. Mengurangkan risiko strok
    Bawang putih akan merangsang penghasilan nitric oxide pada dinding saluran darah. Ini akan membantu saluran darah untuk mengembang dan seterusnya mengawal tekanan darah dengan baik bagi mengelakkan risiko darah tinggi dan strok.

    2. Mengurangkan risiko kanser
    Bawang putih kaya dengan bahan antioksidan seperti selenium yang membantu mengurangkan free radical di dalam darah. Ini akan mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser.

    3. Anti bakteria dan antivirus
    Sejenis bahan Allicin yang terkandung di dalam bawang putih ini bertindak sebagai antivirus dan antibakteria dalam memusnahkan beberapa mikrob. Jadi, ianya amat baik untuk jangkitan perut, jangkitan influenza dan sebagainya.

    4. Antiinflamasi
    Kajian juga menunjukkan bawang putih mempunyai bahan antiinflamasi yang dapat membantu mengurangkan penyakit asma, mengurangkan inflamasi pada arhritis pada sendi seperti rheumatoid atau pun osteoarthritis.

    5. Mengandungi banyak iodin
    Kandungan iodin yang tinggi di dalam bawang putih amat baik untuk pesakit yang menghidap hypertiroid.

    6. Membantu sistem pencernaan
    Bawang putih akan merembeskan gastric acid pada lapisan perut yang akan membantu proses pencernaan di dalam saluran makanan.

    7. Meningkatkan sistem imunisasi
    Ya, terdapat kajian yang mendapati bahawa pengambilan bawang putih sebanyak 2 hingga 3 biji sehari selama tiga minggu akan meningkatkan aktiviti sel darah putih untuk melawan jangkitan dan tumor.

    8. Mengurangkan kolesterol dalam tubuh
    Kandungan Di-sulphide di dalam bawang putih membantu menurunkan nilai kolesterol di dalam saluran darah dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung.

    Sumber : SINI
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...