Zoo Negara pindah ke Janda Baik





BENTONG – Kerajaan Pusat dalam perancangan untuk memindahkan Zoo Negara ke kawasan berhampiran Janda Baik, dekat sini kerana kedudukannya yang begitu hampir dengan Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, namun begitu ia masih belum diputuskan lagi sama ada akan dilaksanakan atau tidak memandangkan ia masih dalam perancangan.

Menurutnya, sekiranya perancangan itu dilaksanakan kelak, kemungkinan besar ia akan melibatkan kawasan yang jauh dari kediaman penduduk.

“Jika diperhatikan, persekitaran yang menghijau di Janda Baik amat sesuai dijadikan tapak zoo bagi menempatkan pelbagai jenis haiwan.

“Namun begitu, perkara ini masih memerlukan perancangan teliti dan rapi bagi memastikan ia tidak menimbulkan masalah kepada penduduk,” katanya.

Beliau hadir ketika merasmikan Karnival Gegar Janda Baik, dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda Bahagian Bentong, Datuk Johari Harun.

Tiong Lai berkata, sekiranya perancangan pemindahan Zoo Negara itu diluluskan ke kawasan ini, sesi taklimat khas akan diadakan kepada penduduk.

Menurutnya, ia penting bagi memastikan penduduk mengetahui dengan jelas perkara itu sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

“Pemindahan Zoo Negara ke kawasan ini dilihat dapat menjadikan Janda Baik destinasi terkenal dengan kepelbagaian produk pelancongan.

“Apa yang diharapkan ialah penduduk di sini dapat berganding bahu mengekalkan keindahan alam semula jadi yang sememangnya menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.


Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/zoo-negara-pindah-ke-janda-baik-1.60691

Harimau Muda : Malaysia 7 , Filipina 0



SKUAD Harimau Muda 'bermaharajalela' di bumi Myanmar.Petang semalam, pasukan Filipina teruk 'dikerjakan' anak-anak buah Ong Kim Swee yang berjaya melakar kemenangan besar 7-0 dalam aksi kedua Kumpulan G kelayakan Piala AFC Bawah 22 Tahun (B-22) di Stadium Aung San, Yangon.
Peledak berbisa, Mohd. Rozaimi Abdul Rahman ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila melakar empat gol dalam perlawanan itu sekali gus menghidupkan semula misi Harimau Muda yang tewas tipis 2-3 kepada Korea Selatan dalam aksi pembuka tirai Sabtu lepas.
Dalam perlawanan semalam, Malaysia terlebih dahulu di depan apabila Mohd. Rozaimi mudah menyempurnakan hantaran Wan Zaharulnizam Wan Zakaria seawal minit kedua.
Mohd. Fandi Othman kemudiannya berjaya menggandakan kelebihan skuad muda negara pada minit ke-32 sebelum Mohd. Rozaimi menjaringkan gol ketiga dua minit kemudian.
Wan Zaharulnizam semakin meletakkan Malaysia selesa di depan apabila berjaya menjaringkan gol keempat Harimau Muda pada minit ke-39 hasil hantaran menarik Ashri Chuchu.
Sebaik babak kedua bersambung, Mohd. Rozaimi jelas tidak menunjukkan sebarang perasaan simpati apabila meledak dua lagi gol pada minit ke-68 (penalti) dan ke-74 sebelum jaringan D. Saarvindran pada masa kecederaan akhirnya melengkapkan mimpi ngeri The Azkals.
"Saya bersyukur dengan kemenangan ini, kesungguhan pemain juga cukup terpuji apabila beraksi dengan cukup bagus (semalam).
"Saya juga gembira dengan jumlah jaringan Mohd. Rozaimi, inilah yang saya mahukan apabila kesemua penyerang memiliki sentuhan penyudah yang berkesan supaya kita tidak terlalu bergantung kepada keupayaan seorang penyerang semata-mata," kata Kim Swee selepas tamat perlawanan.
Selepas ini, Harimau Muda bakal menentang Taiwan (Khamis ini) dan Vietnam (30 Jun) di stadium yang sama sebelum aksi terakhir berdepan cabaran Myanmar di Stadium Thuwunna pada 3 Julai depan.
Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung tahun depan. Turut layak ialah pasukan ketiga terbaik daripada tujuh kumpulan peringkat kelayakan.
Terdahulu, skuad Korea Selatan yang dikendalikan Kim Tae Young juga melakar kemenangan kedua selepas membelasah Taiwan 8-1 sementara Myanmar menewaskan Vietnam 3-1 dalam dua lagi aksi Kumpulan G semalam.

Euro 2012 : Tuah memihak Itali



KIEV, Ukraine - Jurulatih Itali, Cesare Prandelli menganggap tuah lebih memihak kepada skuad kendaliannya apabila berjaya menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir Euro 2012 awal pagi semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Olympik, Kiev itu, Itali menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.
Pemain gantian, Alessandro Diamanti muncul wira Itali apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti terakhir skuad The Azzurri selepas penjaga gol berpengalaman, Gianluigi Buffon berjaya menyelamatkan sepakan penalti tonggak pertahanan England, Ashley Cole.
Sebelum itu, Riccardo Montolivo gagal menyempurnakan sepakan kedua Itali manakala sepakan penalti yang dilakukan pemain sayap England, Ashley Young sekadar menggegar palang gol.
Jurulatih England, Roy Hodgson menganggap kemenangan menerusi sepakan penalti adalah lebih kepada faktor tuah dan perkara itu turut diakui sendiri oleh Prandelli.
"Saya sangat setuju dengan kenyataan Hodgson. 80 peratus kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti adalah berdasarkan tuah.
"Jelas sekali, beberapa pemain yang berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut adalah disebabkan mereka sentiasa tenang dan fokus selain sudah biasa mengalami tekanan seperti itu.
"Begitupun, saya tetap bersetuju dengan Hodgson kerana tuah adalah satu perkara yang penting dalam penentuan sepakan penalti," kata Prandelli.
Berdasarkan statistik, Itali sememangnya berhak untuk memenangi perlawanan awal pagi semalam.
Ini kerana, skuad The Azzurri mendominasi 64 peratus kawalan bola selain melakukan 35 perubaan tepat ke arah pintu gol pihak lawan berbanding England yang sekadar melakukan sembilan percubaan.
Lebih mengejutkan, Itali berjaya mendominasi perlawanan dan ia suatu yang di luar jangkaan kerana sebelum ini, ramai penganalisis bola sepak menganggap peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50.
Bagaimanapun, Prandelli memberitahu, beliau sama sekali tidak terkejut dengan persembahan yang dipamerkan barisan pemainnya.
"Saya tidak terkejut kerana saya tahu kami berkemampuan untuk menentukan hala tuju perlawanan.
"Apa yang membimbangkan adalah kami membiarkan England melakukan serangan balas terlalu banyak. Mujur, kami beraksi dengan baik untuk mengekang pergerakan mereka itu.
"Kami cuba untuk membuatkan England kembali membuka ruang tetapi tidak berjaya. Jadi, kami mengatur gerakan serangan menerusi kepantasan," kata Prandelli. - AFP

Euro 2012 : Peluang Portugal, Sepanyol 50-50



DONETSK, Ukraine - Tonggak pertahanan Portugal, Joao Pereira menganggap pertemuan menentang Sepanyol pada aksi separuh akhir Euro 2012 di Donbass Arena awal pagi Khamis ini adalah 50-50.
Pereira berkata, perlawanan itu akan menjadi berbeza berbanding ketika aksi persahabatan antara kedua-dua pasukan dua tahun lalu.
Biarpun ketika itu Portugal berjaya melakar kemenangan 4-0, namun Pereira menjelaskan bahawa skuad La Roja pasti akan tampil dengan corak permainan yang berbeza kali ini.
"Ia akan menjadi perlawanan 50-50. Saya tidak pasti sama ada kami akan menonton semula rakaman perlawanan persahabatan dua tahun lalu tetapi apa yang pasti, ia akan menjadi perlawanan yang berbeza.
"Ketika kami menang 4-0 ke atas Sepanyol pada perlawanan persahabatan itu, mereka (Sepanyol) beraksi dengan bersahaja dan tidak berada dalam keadaan tertekan.
"Namun, kini ia akan menjadi lebih sukar buat kami. Pada kempen Piala Dunia, kami bersaing hebat untuk menang tetapi akhir Sepanyol mencatatkan kemenangan 1-0.
"Kami yakin kami mampu menewaskan Sepanyol dan saya harap kami akan menang," kata Pereira.
Portugal memulakan kempen Euro kali ini dengan hambar apabila tewas 0-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B menentang Jerman.
Bagaimanapun, skuad kendalian Paulo Bento itu kembali bangkit apabila melakar kemenangan dalam dua baki perlawanan kumpulan iaitu ke atas Denmark 1-0 dan Belanda (2-1).
Meskipun, anak-anak buah Bento dilihat mempamerkan peningkatan tetapi Pereira mengingatkan rakan-rakan sepasukannya agar berhati-hati dengan corak permainan Sepanyol.
"Biarpun kami tewas pada perlawanan pertama tetapi kami telah berjaya mempamerkan peningkatan.
"Saya harap kami tidak akan melakukan kesilapan kerana Sepanyol pasti akan menggunakan kesempatan tersebut bagi menjaringkan gol.
"Kami perlu berhati-hati dengan pemain tengah Sepanyol yang berkebolehan melakukan hantaran-hantaran yang merbahaya dan mengelirukan," jelas Pereira. - Agensi

Euro 2012 : Punca England kalah



ENGLAND masih belum mampu untuk bergelar sebagai gergasi bola sepak Eropah.Pada kempen Euro 2012, perjuangan mereka hanya sampai ke peringkat suku akhir.
Mereka ditunjuk jalan keluar oleh Itali menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan masa tambahan.
Kualiti yang ada dengan skuad kendalian Roy Hodgson itu masih belum mencukupi untuk membawa mereka mara lebih jauh meskipun aksi mereka pada saingan peringkat kumpulan telah menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan yang mereka harungi.
Ramalan sebahagian besar penyokong England sebelum bermulanya aksi menentang Itali itu ada kebenarannya.
Mereka berpendapat bahawa jika England mahu menang perlawanan tersebut, ia akan berlaku dalam tempoh 90 minit tetapi jika ia berlarutan sehingga ke sepakan penalti, England akan tewas.
Majoriti daripada penyokong mereka tidak yakin dengan kemampuan England untuk memenangi sepakan penalti kerana ia sudah terbukti sebelum ini.
Ramalan tersebut ternyata benar apabila England ditunjuk jalan keluar selepas penentuan sepakan penalti tersebut.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Ashley Young dan Ashley Cole menjadi punca kekalahan England kerana mereka gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut.
Sepakan Young terkena palang gol sementara ledakan Cole diselamatkan oleh penjaga gol Itali, Buffon.
Kegagalan mereka telah memusnahkan hajat besar England yang mahu membuktikan kritikan penyokong terhadap mereka adalah tidak benar.
Bagi Hodgson, dia tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana menganggap nasib sekali lagi tidak menyebelahi mereka.
“Semua pemain telah melakukan yang terbaik, tetapi nasib tidak memihak kepada kami.
“Dalam perlawanan genting seperti ini, kadang-kadang kamu memerlukan sedikit tuah untuk meraih kemenangan, namun tuah itu menyebelahi Itali,” katanya. - Agensi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...