Berita : Peniaga gempar hujan ais landa Perak

Keadaan khemah peniaga di satu lokasi di bandar Taiping. Ketulan hujan batu (dalam bulatan) yang melanda sekitar bandar Taiping, kelmarin dibandingkan dengan saiz syiling 10 sen.


TAIPING – “Rasa seperti ada batu-batu kecil menyakiti tubuh saya,” itu antara pengalaman dirasai seorang peniaga dalam satu kejadian ribut, di sini, kelmarin.

Mohamad Kamal Abdul Latiff, 35, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, rata-rata peniaga pasar malam yang baru memulakan perniagaan dikejutkan dengan kehadiran angin kencang dan hujan lebat berupa ketulan ais.

Menurutnya, ketika kejadian, dia baru sahaja membuka khemah untuk menjual hasil laut.

"Bagaimanapun, tidak sampai 10 minit, tiba-tiba hujan lebat melanda diikuti ribut hingga menyebabkan beberapa khemah hampir tumbang.

“Saya bersama pekerja terpaksa menahan khemah dari diterbangkan angin, ketika itulah saya dapat rasa tubuh saya seperti dihujani batu-batu kecil,” katanya.

Mohamad Kamal berkata, insiden tersebut pertama kali berlaku sepanjang 10 tahun dia berniaga di kawasan berkenaan.

“Memang tak sangka, lebih-lebih lagi saya sendiri yang alaminya.

"Susulan kejadian ini, hampir semua peniaga tak jadi berniaga dan  mengemas barang dan peralatan masing-masing,” katanya.

Difahamkan, selain merosakkan khemah peniaga, beberapa papan tanda turut tumbang akibat ribut namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.


Sumber : SINAR HARIAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...