PDRM : PASUKAN PETUGAS KHAS JENAYAH TERANCANG (STAFOC)



Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan pasukan elit taktikal dikenali Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) khusus bagi menangani dan menguruskan kes-kes jenayah dengan efisien termasuk pembanterasan kegiatan dadah yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2014.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukan tersebut yang diletakkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan menguruskan dan menangani operasi yang bersifat pelbagai.
“Ia merangkumi isu-isu jenayah seperti jenayah berat, sindiket, gengsterisme, perjudian, pelacuran dan pemerdagangan manusia.
“Seramai 200 anggota daripada JSJ dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari seluruh negara diserap masuk selepas menjalani dua siri pemilihan pada penghujung Oktober lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Demonstrasi dan Pengenalan Pasukan Elit JSJ PDRM di Kompleks Latihan Taktikal, Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di sini hari ini.
Dalam majlis itu, anggota terpilih dalam pasukan Stafoc turut melakukan persembahan demonstrasi termasuk menyelamatkan mangsa tebusan dan tangkapan ketika berlakunya rompakan bank.
Tambah beliau, Stafoc adalah pasukan elit taktikal pertama JSJ yang akan melaksanakan operasi di kontinjen dan daerah dikenal pasti seluruh negara dengan dikawal selia secara langsung oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Kesemua 400 yang terpilih akan dihantar menjalani kursus tempur dan taktikal yang akan dikendalikan oleh jurulatih daripada Pasukan Vat Komando 69 dan Unit Tindak Khas (UTK).
“Jumlah yang diserapkan memadai untuk masa kini dan PDRM amat berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan perjawatan tersebut termasuk pembelian peralatan dan persenjataan untuk keperluan pasukan ini,” katanya.
Sementara itu, bercakap tentang pembinaan Kompleks Latihan Taktikal di pusat latihan berkenaan, Khalid berkata, ia adalah pusat simulasi yang dibina bagi memudahkan latihan untuk semua penugasan polis terutama bagi anggota baharu.
Sumber : SINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelbagai Lagi Artikel Menarik