Jenayah : Tembak pegawai AmBank: Joemar perancang rompakan diburu






Kuala Lumpur: Senjata jenis pump gun digunakan dalam kejadian samun dan menembak mati pegawai AmBank, Norazita Abu Talib, 37, pada 23 Oktober lalu berjaya ditemui dalam longkang di Jalan Subang 2, Taman Perindustrian Subang, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, semalam.

Senjata berkenaan ditemui sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas memulakan pencarian di kawasan berkenaan jam 9 pagi sejurus suspek utama kes itu yang ditahan di Kota Tinggi, Johor, kelmarin memaklumkan lokasi senjata itu dibuang selepas kejadian berkenaan.

Operasi pencarian selama dua jam itu berhasil apabila polis menemui senjata berkenaan bersama tiga peluru hidup dan satu kelongsong peluru yang sudah digunakan dalam senjata api itu yang tertimbus dengan pasir dalam longkang berhadapan sebuah bengkel alat ganti kereta, kira-kira jam 11 pagi.

Penemuan itu disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurutnya, pihaknya juga sudah mengenal pasti nama sebenar suspek utama iaitu Laode Ardina Laode Rasila berasal dari Sulawesi, Indonesia, tetapi menggunakan kad pengenalan palsu dengan pendaftaran nama Ardi Hamza.


“Hasil soal siasat, suspek mengaku membeli kad pengenalan palsu itu daripada seorang lelaki warga Indonesia di Malaysia dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung penjualan kad pengenalan palsu ini termasuk harga ditawarkan walaupun kad pengenalan palsu itu tidak boleh diakses oleh peranti biometrik.

“Selain itu, polis sedang memburu rakan jenayah suspek dikenali sebagai Joemar, juga warganegara Indonesia yang disyaki menyimpan wang hasil rompakan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah dari Perspektif Islam di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, semalam.

Khalid berkata, Joemar bukan pengawal keselamatan dan diburu bagi mengesan semula wang rompakan itu.

“Ketika suspek ditahan di Kampung Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, Johor, kelmarin, polis tidak menemui wang rompakan itu bersamanya, sebaliknya hanya menemui wang hasil rompakan berjumlah RM20,000 yang ditemui bersama tiga ahli keluarga suspek yang ditahan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 12 individu termasuk suspek utama ditahan berhubung kes berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Harian Metro semalam melaporkan suspek kes bunuh pegawai AmBank yang ditahan polis di Kampung Tanjung Belungkor, kelmarin dipercayai gagal mendapatkan khidmat tekong darat atau laut bagi membawanya melarikan diri untuk pulang ke negara asalnya.

SUMBER BERITA : SINI














SUMBER GAMBAR : SINI

Info Sains : Jenis Cacing Yang Menghuni Tubuh Kita



Biasanya disebabkan oleh keluarga cacing Askaris lumbricoides yang merupakan cacing yang paling sering menyerang manusia. Cacing dewasa hidup di dalam usus manusia bahagian atas, dan melepaskan telurnya di dalam kotoran manusia. Infeksi pada manusia terjadi melalui jalan makanan yang tercemar oleh kotoran yang mengandungi telur cacing. Telur yang tertelan akan mengeluarkan larva. Larva ini akan menembus dinding usus masuk ke aliran darah yang akhirnya sampai ke paru-paru lalu akan dibatukan keluar dan ditelan kembali ke usus. Penyakit yang timbul dari infeksi ini antara lain anemia, obstruksi saluran hempedu, radang pankreas




Cacing ini adalah dari jenis Enterobius vermikularis yang sering menyerang kanak-kanak kecil. Cacing dewasa akan tinggal di usus besar. Cacing betina yang akan bertelur meninggalkan usus besar menuju anus yang merupakan tempat bertelur yang paling ideal. Keitka inilah kanak-kanak akan menangis kerana lubang anusnya gatal. Secara kasat mata, cacing ini akan terlihat sebesar parutan kelapa disekitar lubang anus. Transmisi cacing ini seperti halnya cacing perut masuk secara langsung melalui mulut baik dengan perantara makanan mahupun dimasukkan secara tidak sengaja oleh penderita yang habis menggaru lubang anusnya yang gatal. Sehingga pada kanak-kanak sering terjadi reinfeksi akibat tindakan itu.




Selalunya disebabkan oleh jenis Ancylostoma duodenale dan Necator americanus. Cacing dewasa tinggal di usus halus bahagian atas, sedangkan telurnya akan dikeluarkan bersama dengan kotoran manusia. Telur akan menetas menjadi larva di luar tubuh manusia, yang kemudian masuk kembali ke tubuh mangsa menembus kulit telapak kaki bagi mereka yang berjalan tanpa alas kaki. Larva akan berjalan jalan di dalam tubuh melalui peredaran darah yang akhirnya tiba di paru paru lalu dibatukan dan ditelan kembali. Gejala meliputi reaksi alergi lokal atau seluruh tubuh, anemia dan sakit pada abdomen.




Cacing dewasa akan tinggal di usus bahagian bawah dan melepaskan telurnya ke luar tubuh manusia bersama kotoran. Telur yang tertelan selanjutnya akan menetas di dalam usus halus dan hidup sehingga dewasa di sana. Gejala yang timbul pada penderita cacing cambuk antara lain sakit abdomen, diarrhea dan usus tersumbat.


SUMBER : SINI

Jenayah : Pencuri Beri Salam

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 November 2013


MACHANG - Polis dan orang ramai berjaya menangkap dua pencuri ketika cuba memecah masuk rumah seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan di Kampung Sungai Mas, dekat sini, pagi semalam.

Suspek pertama berjaya ditangkap beberapa minit selepas kejadian, manakala suspek kedua ditemui di kawasan berdekatan kira-kira jam 4 petang, semalam.

Anak mangsa, NurFairuza Syahira Zainuddin, 20, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dia seorang diri di rumah dan menyedari dua lelaki masuk ke kawasan rumah dengan sebuah kenderaan selepas membuka pagar.

“Saya intai melalui tingkap namun tidak kenal mereka dan mula rasa curiga. Saya telefon papa dan tanya jika ada sesiapa mahu menghantar barang dan sebagainya namun dia menafikan. Lantas saya minta dia pulang segera.

“Pencuri terbabit turut memberi salam namun saya hanya diam. Mereka keliling rumah sambil beri salam dan apabila saya tidak jawab, mereka cuba cungkil pintu depan rumah,”katanya kepada Sinar Harian, semalam.

NurFairuza Syahira berkata, dia menyorok di dalam bilik selepas menyedari pintu rumah dicungkil dan sekali lagi menelefon bapanya agar segera pulang.

Sementara itu, Prof Madya Dr Zainuddin Awang yang segera pulang ke rumah setelah dimaklumkan anaknya, melihat pencuri sedang mencungkil pintu rumahnya sebaik sahaja dia tiba.

“Saya segera bunyikan hon dan mereka cuba melarikan diri dengan kereta namun, tidak dapat keluar apabila saya menunggu di pintu pagar. Mereka langgar kereta saya namun saya bertahan bagi mengelakkan mereka lolos.

“Apabila melihat polis, rakan saya dan orang ramai datang, mereka keluar kereta dan lari ke dalam semak di belakang rumah," katanya yang berterima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarganya menghadapi saat cemas tersebut.







SUMBER BERITA : SINI
SUMBER GAMBAR : SINI

Info : 10 Makanan Paling Jijik di Dunia!

Di Malaysia, kalau kita dengar ada yang makan darah ular, kucing dan katak pun sudah cukup meloyakan tekak. Tetapi di negara luar lebih dasyat lagi apa yang mereka makan. Mungkin bagi penggemar makanan eksotik, itu adalah sesuatu yang sangat lazat dan mampu membuatkan mereka 
kecur liur.

Berikut ialah 10 makanan yang menjijikkan dan negara yang paling banyak mempunyai makanan jijik ialah negara China.

1. Burger “Cindil” – China.


Cindil atau nama lainnya anak tikus yang baru lahir dipercayai boleh menambah stamina dan membuatkan tubuh badan menjadi lebih sihat. Selain itu, cindil juga dikatakan mempunyai kandungan protein yang sangat tinggi. Khabarnya, cindil juga boleh mengubati pelbagai macam penyakit, dan salah satunya adalah asma. Di negara China, penyajian cindil beraneka macam dan salah satunya adalah dalam bentuk burger.



2. Otak Monyet Hidup – China.

Otak monyet yang masih hidup kononnya boleh mengubati masalah kekuatan seksual lelaki. Selain itu juga, dapat menambah stamina. Di China, dipercayai bahawa otak monyet yang masih hidup (otaknya yang masih berdenyut) merupakan ubat yang paling mujarab untuk mengubati masalah kekuatan batin. Monyet yang masih hidup dimasukkan ke dalam karung, kemudian di pukul kepalanya sampai pengsan dan mestilah dipastikan monyet itu masih hidup. Kemudian kulit kepala bahagian atas dikuliti dan di belah tengkoraknya untuk diambil otaknya mentah-mentah dan di makan dengan menggunakan straw. Di Indonesia juga terdapat kawasan-kawasan yang menjual makanan seperti ini, seperti Sulawesi, Medan, Lampung, Jawa Timur, dan Kota Jakarta.


3. Daging Tikus Goreng – China.
Tikus-tikus yang biasanya didapati berkeliaran di sawah para petani ini yang biasanya menjadi hidangan sebagai lauk oleh kebanyakan orang-orang di negara China. Daging tikus yang telah disembelih dan diperap akan digoreng dan dijadikan santapan. Daging tikus dipercayai mempunyai kandungan protein yang tinggi yang baik untuk kesihatan.


4. Ulat Rebus – Botswana.
Suku kaum di pedalaman Botswana dikatakan gemar menyantap ulat-ulat Mapone sebagai menu makan hampir setiap hari. Ulat-ulat yang telah dikumpulkan akan dimasak dengan menggunakanbahan perasa untuk menambahkan kesedapannya dan disantap bersama-sama dengan nasi.


5. Soya Busuk – China.
Hampas soya yang dijemur sehingga keluar bau busuk dan kering akan diproses untuk dijadikan menu makanan, dan ianya hanya terdapat di negara China sahaja.


6. Telur Rebus Mengandungi Janin Itik Filipina.
Di negara Filipina, telur itik yang telah mencapai umur 2 minggu atau yang telah berubah menjadi janin akan dimasak atau direbus lalu dijadikan santapan dan dimakan dengan sos dan kicap masin. Telur seperti ini dipercayai mempunyai kandungan protein yang tinggi yang mampu menambahkan nutrisi yang diperlukan oleh badan.


7. Sperma Ikan Cod di Negara Asia Timur.
Di wilayah Asia Timur, segumpalan sperma ikan Cod boleh diproses sedemikian rupa menjadi menu santapan di hotel-hotel berbintang dan di restoren restoren mewah di bandar-bandar dengan harga yang sangat mahal.


8. Sos dari Sperma Ikan Emas – Hungaria.
Di negara Hungary, sperma ikan emas akan diproses dan dicampur dengan susu untuk dijadikan sos dan disajikan bersama sup ayam.


9. Steak Daging Buaya di – Singapura.
Di negara Singapura, daging buaya kebanyakannya anak buaya akan diproses menjadi steak buaya. Daging-daging buaya terutama bahagian paha tangan dan kaki akan disajikan bersama kentang goreng sama seperti steak daging lembu yang kita biasa lihat. Hanya restoran-restoran tertentu di Singapura yang menyajikan menu istimewa ini.


10. Bola Mata Ikan Tuna – Jepun.
Di Jepun, bebola mata ikan Tuna yang masih mentah atau yang sudah dimasak akan disantap sebagai snek di waktu lapang. Bebola mata ikan Tuna dipercayai boleh menambah stamina ketika sedak melakukan aktiviti lasak lebih kurang seperti minuman isotonik.

Menggelikan! Tetapi bagi mereka itulah sajian paling sedap dan paling nikmat untuk disantap bersama ahli keluarga. Tidak pasti pula sejauh mana khasiat makanan itu walaupun di khabarkan boleh membantu mengubati pelbagai penyakit dan kaya dengan nutrisi yang diperlukan badan.

ARTIKEL ASAL : SINI

Sejarah : Mengapa Ferret Scout Car milik PDRM ini diberi nama Zabri??




Tahukah anda mengapa Ferret Scout Car milik PDRM ini diberi nama Zabri?

Perkataan ‘Zabri’ pada kenderaan perisai tersebut adalah sebagai memperingati jasa dan perjuangan ASP Mohd Zabri bin Abdul Hamid (gambar kecil), pakar taktikal dan antara perwira yang paling dikenang dalam sejarah 69 Komando.


Beliau merupakan ketua yang sangat disenangi dan dihormati oleh anak-anak buahnya dan pada masa yang sama digeruni oleh pihak musuh sehinggakan setiap kali operasi yang disertai olehnya, pasti akan ada pengganas komunis yang tewas di tangan beliau.

Allahyarham terbunuh selepas terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis ketika menyeberangi Sungai Kenerong, Perak pada 4 September 1975.

Allahyarham yang mengalami kecederaan parah pada kaki menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan dibawa keluar dari kawasan operasi.

“Teruskan perjuanganmu, hancurkan petualang negara, buru…dan hancurkan mereka, biarpun diriku tiada lagi” adalah amanat terakhir Allahyarham yang menjadi azimat selamanya kepada rakan-rakan seperjuangan beliau.

Jasad Allahyarham ASP Mohd Zabri bin Abdul Hamid kemudiannya dibawa pulang dan disemadikan di kampung halaman beliau di Tapah, Perak.

Sehingga ke hari ini, pemergian Allahyarham begitu memberi kesan di hati rakan-rakan seperjuangan dan setiap kali mereka teringat dan bercerita mengenai beliau, pasti air mata akan jatuh tanpa disedari.

Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama-sama para syuhada. Al-Fatihah.

* Selain kenderaan perisai PDRM, nama Allahyarham ASP Mohd Zabri turut diabadikan pada sebuah kem latihan PDRM di Tasik Banding, Grik, Perak yang dikenali sebagai Kem Zabri.

Sumber rujukan: Buku 69 Komando dan History Channel: Vat 69 - Malaysia's Very Able Troopers.


Artikel Asal : SINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...